PENULIS mula mengenali figura ini ketika beliau meledak dengan lagu hitsnya, Kisah Hati sekitar tahun 2011.

Sejak zaman anak dara sehinggalah sudah bergelar Datin, bagi penulis Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali menerusi nama pentasnya, Alyah tidak jauh berubah.

Ceria dan mudah didekati, wanita berusia 41 tahun itu juga tidak lokek berkongsi cerita tatkala kami bertemu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, ada yang berbisik bahawa empunya diri semakin menjaga nilai eksklusif dan sukar untuk didekati lagi.

Alyah juga dilihat jarang berkongsi cerita atau gambar bersama suami tercinta, siapa lagi kalau bukan maestro muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS.

Justeru, kepada Alyah kami bertanya, adakah benar dakwaan yang digembar-gemburkan itu?

“Saya bukan perahsia sebab kalau dengan kawan-kawan, saya berborak saja macam biasa. Cuma melalui media sosial, setelah 22 tahun berada dalam industri, banyak yang saya pelajari.

“Jadi, saya guna segala pengalaman yang dilalui. Lagipun netizen sekarang susah nak jangka, walaupun kita muat naik hantaran dengan niat untuk berkongsi kegembiraan, ada yang fikir kita menunjuk-nunjuk.

“Walaupun orang kata abaikan saja, tetapi sebagai manusia biasa, bila serba-serbi tak kena, saya terasa. Jadi, apa yang saya belajar daripada Tok Ram (Ramli), tak payah cerita semua benda.

“Namun, bila kita tak berkongsi apa-apa, bukan memberi cerminan bahawa kita tak bahagia dan bila kita kongsi semua, bukan bermakna kita bahagia,“ ungkapnya dengan kata-kata penuh tersirat.

ALYAH DAN TOK RAM
Biarpun jarang berkongsi gambar bersama suami tercinta, Alyah menegaskan perkahwinan yang dibina masih bahagia.

Tambah wanita kelahiran Gelang Patah, Johor itu, sama seperti pasangan lain, beliau juga melalui pasang surut kehidupan berumah tangga. Namun semuanya dapat diatasi dengan baik.

“Saya tahu masih ada lagi yang bercakap apa yang pernah berlaku dalam rumah tangga saya dulu.

“Bagaimanapun, sejak tahun 2013 mendirikan rumah tangga dengan Tok Ram sehingga kini, kami sentiasa berdoa, biarlah hubungan ini kekal sampai ke akhir hayat,“ ujarnya penuh harapan.

Cerewet

Dalam pada itu, ditebak perihal kerjaya seninya, Alyah berkata, setelah sekian lama menyepi, beliau kini sedang berusaha untuk menyiapkan material terbaharu bagi mengubati kerinduan peminat.

Mengakui seorang yang cerewet dalam berkarya, penyanyi yang mula hits dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu memberi bayangan bakal merakamkan beberapa buah lagu sekali gus dalam masa terdekat ini.

Iklan

“Walaupun baru sahaja tampil dengan single Thank You Allah tahun lalu, tetapi saya rasa seperti sudah lama ‘tidur‘.

“Sekarang saya sedang berusaha mencari material bersesuaian dan disebabkan keadaan semasa, saya merancang untuk rakam dua hingga tiga buah lagu terus dan masih mengekalkan genre balada.

ALYAH
Alyah sudah bersedia untuk kembali beraksi tahun ini.

“Cuma bila dah lama tak keluar lagu, ramai yang menanti dan secara tidak langsung buat saya rasa takut serta lebih berhati-hati untuk tampil dengan lagu baharu.

“Pada masa sama, saya juga tak sabar untuk keluar dan mempromosikan lagu saya seperti dahulu. Semoga tahun 2022 menjadi tahun yang lebih baik untuk kerjaya dan kesihatan saya,“ katanya yang tidak menolak untuk mengadakan showcase atau konsert suatu hari nanti.

Iklan

Masih laku

Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Alyah meluahkan rasa syukur apabila masih mendapat kepercayaan menggalas tanggunjawab sebagai duta dan jurucakap produk.

ALYAH DAN AISAH HAMIM
Alyah menyifatkan hubungannya dengan pengasas Zafesha Simply, Aisah Hamim seperti sebuah keluarga.

Antaranya, beliau dilantik sebagai duta penjagaan wajah, Zafesha Simply sejak hampir dua tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya memang bersyukur kerana masih ada yang nampak dan memilih saya. Saya sudah mencuba produk ini dua bulan sebelum menerima tawaran sebagai duta.

“Ini adalah produk organik dan walaupun hasilnya lambat, tetapi ia berkesan dan selamat. Saya rasa kita tidak boleh pandang rendah pada lokal produk sebab saya pernah pergi ke ekspo di Dubai dan sebenarnya banyak produk dari Malaysia berada di sana.

“Walaupun tidak bersama Zafesha Simply selepas ini, saya akan tetap gunakan produk mereka. Hubungan saya dengan pengasasnya, Aisah Hamim sudah seperti keluarga,“ jelasnya.