Sheila Rusly tegas dan berterus-terang, tidak kisah jika karakter kurang disenangi

SHEILA RUSLY
SHEILA RUSLY
A
A
A

CUKUP sinonim dengan karakter yang tegas dan berterus-terang, pelakon serta penerbit Sheila Rusly mengakui selesa menjadi diri sendiri biarpun ada kala sering disalah anggap sebagai seorang yang garang sehingga dirinya takut untuk didekati.

Tidak kisah dengan tanggapan diberikan, Sheila, 51, berkata, dia tidak melihat karakter tersebut sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya merupakan aura dan kelebihan ada pada dirinya.

Aura tersebut turut dipaparkan selebriti itu menerusi program realiti masakan terbaharu terbitan TV9, Dapur Tempur yang menyaksikan Sheila menggalas tanggungjawab sebagai juri bersama Cef Adu.

Ibu mentua kepada pelakon Elisya Sandha itu berkata, sesuai dengan karakternya, dia hanya akan memberikan komen jujur, malah menegur kesalahan yang dilakukan oleh peserta secara terbuka tanpa berkias-kias.

“Ketika dijemput untuk terlibat dalam program ini sebagai juri, saya bertanya kepada pihak produksi, mereka mahu saya membawa karakter juri yang bagaimana kerana saya seorang suka bersikap jujur.

“Apabila mereka kata mahu saya menjadi diri sendiri, itu lebih mudah buat saya. Ini kerana apabila memikul tanggungjawab sebagai seorang juri, saya perlu berterus-terang dan menegur apa-apa yang saya rasa tidak betul secara terbuka,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar program Dapur Tempur di Flower Girl Coffee, Sunway Geo Avenue, baru-baru ini.

Mengakui tidak kisah sekiranya kejujurannya dalam menegur disalah ertikan, Sheila yang cukup dikenali dengan pelbagai program masakan itu berkata, dia mempunyai cara tersendiri dan apa yang dilakukan adalah semata-mata untuk berkongsi ilmu.

“Memang ada antara peserta program ini yang menangis disebabkan komen saya. Ia bukan dibuat-buat untuk konten demi naikkan program, tetapi itulah yang berlaku pada ketika itu.

“Saya memberikan komen yang benar-benar jujur berdasarkan persembahan yang mereka tampilkan. Jika sedap, saya cakap sedap dan begitulah sebaliknya. Saya tidak akan berkias-kias untuk mengambil hati.

“Kadang-kadang cara saya sampaikan komen sengaja ‘dipedaskan’ supaya mereka mudah ingat dan tidak ulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” tegasnya.

Dapur Tempur yang bakal bersiaran sebanyak lapan episod itu bakal menemui penonton bermula 3 November depan, setiap Khamis, jam 8.30 malam di TV9.

Bersyukur

Berkongsi tentang kehidupannya kini yang sudah bergelar nenek, ibu kepada dua anak lelaki, Uzair Haqimy dan Luth Mikhail itu meluahkan rasa syukur dengan apa yang dimiliki hari ini.

Kata Sheila, kehadiran cucu, Bunga ElHaq yang sudah berusia empat bulan itu begitu membahagiakan mereka sekeluarga.

“Apa yang boleh dikatakan, kehidupan saya kini hampir sempurna dengan kehadiran cucu. Saya sebenarnya sangat bersyukur diberikan nikmat menjaga cucu dan menjaga menantu ketika dalam pantang.

“Kalau ALLAH tarik nyawa awal, mungkin saya tidak dapat rasa nikmat itu. Saya anggap diri antara yang bertuah kerana berpeluang mengecapi semua itu,” katanya mengakhiri perbualan.

(FOTO: TV9)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca