ANUGERAH Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari depan menampilkan kejutan apabila buat pertama kalinya menggandingkan dua pengacara wanita sebagai hos utama.

Tugasan penting itu bakal digalas Sherry Alhadad dan Jihan Muse yang dijangka akan menghangatkan anugerah berprestij itu dengan karakter dan personaliti mereka yang tersendiri.

Pentas AJL 37 akan menjadi saksi kolaborasi pertama antara dua pengacara popular itu, apatah lagi ramai peminat yang menunggu kemunculan semula Jihan Muse selepas bercuti panjang kerana melahirkan cahaya mata kedua.

Pengurus Besar Kanan Program Penerbitan Dalaman Rangkaian Televisyen Media Prima, Nor Shahila Harun Shah berkata, pemilihan dua hos popular itu adalah berdasarkan kredibiliti dan kemampuan mereka mengendalikan acara.

“Kombinasi Sherry dan Jihan sangat tepat kerana mempunyai keserasian baik di depan dan mahupun belakang kamera.

“AJL adalah acara berprestij dan kami memerlukan pengacara yang berbakat dan mempunyai pengalaman seperti mereka,” ujarnya pada sidang akhbar memperkenalkan hos dan tema AJL37 yang diadakan di PJ Performing Arts Centre di Bandar Utama, pada Rabu.

Peluang

Sementara itu, Sherry yang sudah empat kali mengendalikan acara anugerah itu menyifatkan tawaran mengendalikan AJL37 bersama sahabat baiknya, Jihan sebagai suatu impian yang menjadi kenyataan.

“Saya dan Jihan sudah lama menantikan peluang ini dan akhirnya ia bakal menjadi kenyataan di pentas AJL37.

“Kami adalah sahabat baik dan pernah ‘busuk masam’ bersama di pentas teater sebelum aktif sebagai pengacara.

“Alhamdulillah kami diberikan peluang untuk mengacarakan AJL37 bersama dan pastinya akan memberikan yang terbaik, sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Iklan

AJL37 yang mengangkat tema Dimensi Muzik itu turut memperkenalkan Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy sebagai pengacara Karpet Merah, manakala Imran Aqil dan Nadia Hasnan bertindak hos di belakang pentas AJL 37.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan AJL37 secara langsung di Axiata Arena Bukit Jalil, pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web rasmi dan aplikasi Tonton bermula 23 Januari 2023.

Iklan

(FOTO: TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.