JIKA diukur, penglibatan Shiqin Kamal dalam industri seni sudah lebih sedekad. Beliau mula mencuri pandangan umum menerusi filem Lagenda Budak Setan.

Pun demikian, namanya seperti air sungai yang mengalir begitu sahaja. Tiada sebarang publisiti, malah tiada satu pun cerita liar yang pernah dikaitkan.

Tersenyum mendengar pernyataan tersebut, selebriti berusia 30 tahun itu berkata, beliau sedari awal sudah menetapkan pendirian untuk bekerja dan mencari duit sahaja.

“Tidak dinafikan ada orang kata kontroversi itu perlu dan boleh membantu menaikkan nama, tetapi mungkin bukan untuk saya. Lagipun saya tak pandai nak gedik-gedik, bukan hanya di luar, tetapi juga dalam lakonan saya. Sehingga kini saya cuba elak untuk bawa watak sedemikian,“ katanya kepada SinarPlus ketika ditemui selepas tayangan filem terbaharu lakonannya, Ada Hantu 2 di GSC Starling Mall, Damansara, Selangor baru-baru ini.

Tambah pemilik nama penuh Nur Ashiqin Mohd Kamal itu, beliau juga percaya dengan rezeki yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT.

“Bila orang tanya tentang bab lambat dikenali ini, sejujurnya ada masa saya rasa okey, tapi tipulah kalau saya tak terasa. Namun, saya bersyukur kerana syarikat pengurusan sentiasa mengingatkan saya bahawa soal populariti ini semuanya makan masa,“ kata selebriti tersebut.

SHIQIN KAMAL
Shiqin mendedahkan mempunyai hati yang kental dan sukar menangis, lebih-lebih lagi selepas kehilangan ibu dan bapanya. (Foto : Rafeq Redzuan)

Jika digali kembali, secara jujurnya, tidak banyak karya yang dibintangi Shiqin. Namun, kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari itu, beliau sangat selektif dalam menerima tawaran.

Selebriti berkenaan tanpa berselindung berkata: “Sebenarnya, saya bukanlah memilih. Saya sedar saya bukanlah hebat sangat. Saya bukan nak merendah diri, apa yang cakap ini adalah hakikat. Kalau boleh saya mahu tampilkan mutu lakonan yang berkualiti, tetapi saya bimbang orang tahu kelemahan saya.“

Disebabkan penjelasan itu dilihat masih terlalu berkias dan kurang jelas, penulis bertanya lanjut.

Rupa-rupanya kata empunya badan, beliau memiliki personaliti yang kental dan sukar menangis. Maka, watak yang memerlukan linangan air mata, payah untuk diterjemahkan dengan baik.

“Susah saya nak jelaskan keadaan ini sebenarnya. Begini, saya cuba keluarkan air mata untuk menjayakan sesuatu lakonan, tetapi tetap tidak boleh. Jadi, sebab itu saya sering bawa watak antagonis atau yang tidak memerlukan banyak bermain air mata, biarpun tiga bulan dibenci penonton,“ tuturnya sambil ketawa kecil.

Peluang

Justeru, pelakon yang pernah melonjak menerusi drama Dendam Cinta Arissa itu  mengimpikan untuk membawa watak aksi yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Biarpun impian tersebut dapat direalisasikan sedikit dalam filem Ada Hantu 2, namun Shiqin berharap mendapat peluang yang lebih besar pada masa hadapan.

Iklan

“Seronok terlibat dalam penggambaran Ada Hantu 2 sebab kami dah serasi. Hairul Azreen (pengarah filem Ada Hantu 2) juga beri kepercayaan kepada saya untuk bawa sedikit watak aksi.

“Harap Hairul boleh beri peluang pada saya untuk bawa watak sebegitu lagi selepas ini. Saya terinspirasi juga dengan beliau yang dulu hanya ‘hero jambu’, tapi kini seperti pelakon aksi antarabangsa,“ katanya yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti berkuda dan terlibat dalam seni mempertahankan diri, Muay Thai.

SHIQIN KAMAL
Barisan pelakon utama filem Ada Hantu 2 yang bakal menemui penonton di pawagam pada 15 September ini.

Berkongsi lebih lanjut penglibatan  dalam naskhah yang menyuntik keterujaannya itu, Shiqin berkata, beliau menggalas watak Bariah atau Ba.

“Saya mengakui seronok sepanjang proses penggambaran. Walaupun ada kejadian mistik yang kecil-kecil, saya tak fikir sangat sebab gembira bekerja dengan pasukan ini. Mereka pun dah memahami dan jaga kebajikan. Pendek kata, tak rasa penat walaupun saya bekerja dari jam 7 malam hingga 7 pagi keesokannya.

Iklan

“Lepas ini kalau ada Ada Hantu 3, 4, 5 atau 7 sekali pun, saya tetap bersedia untuk kembali bekerjasama,“ akhirinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.