SEMPENA Syawal, pelawak, Shuib masih belum terbuka hati untuk menyertai program Sepahtu Reunion Live (SRL) lagi, sebaliknya tumpuan kini lebih terarah kepada perniagaan.

Bagaimanapun, bekas penyampai radio itu meminta doa orang ramai untuk ‘merealisasikan’ perkara tersebut.

Katanya, hal melibatkan Sepahtu, beliau menyerahkannya kepada ALLAH.

“Untuk perancangan itu belum ada belum terbuka hati untuk buat sertai. Saya rasa banyak kerja yang kena buat.

“Perlu fokus kepada perniagaan tetapi dalam masa sama doakanlah rezeki itu.

“Saya tak tahu sebab susunan ALLAH itu maha hebat. Saya berserah dengan apa yang ALLAH dah atur,” katanya kepada SinarPlus.

Difahamkan sebelum ini, Shuib bertindak untuk menarik diri dari rancangan tersebut berikutan lakonan salah satu babak yang didakwa ada aksi lucah sehingga menerima kecaman ramai.

Iklan

Disebabkan itu, menurut rakan seperjuangan dalam Sepahtu, Jep, Shuib digantung serta-merta dan diminta membuat permohonan maaf secara terbuka sebagai pengajaran. Namun, beliau tidak dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Sementara itu, ketika ditanya persiapan raya, jawab bapa kepada empat cahaya mata itu, agak tunggang terbalik tahun ini terlampau sibuk.

Iklan

“Banyak kerja hinggakan baju raya tak sempat nak beli.

“Sibukkan produksi, kilang dan team untuk event jadi saya serahkan semua kepada isteri,” katanya.