BELUM pun bergelar suami isteri, namun tunang Shuib, Watie Hanifiah sudah diuji dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang bertindak ‘menggali’ semula gambar lamanya ketika tidak bertudung di media sosial.

Tidak melatah dengan perkara itu, wanita berusia 35 tahun itu menganggap apa sahaja yang berlaku termasuk kata-kata nista yang diterima sebagai angin lalu.

“Saya tak ambil tahu, kadangkala saya dapat tahu ada hantaran sedemikian pun bila orang sampaikan. Saya baca komen, tetapi buat seperti angin lalu dan tidak simpan dalam hati.

“Saya juga tak pernah bincang atau cakap dengan Shuib sebab saya nak hidup dengan dia dan anak-anak. Jadi pandangan yang perlu saya ambil kira adalah Shuib, anak-anak dan keluarga. Apa yang orang luar nak cakap, itu tidak penting untuk saya,” ujarnya tenang.

Majlis pernikahan Shuib dan Watie akan ditayangkan dalam tiga episod istimewa menerusi program Walimatulurus Shuib & Watie.

Tidak berdiam diri, pelawak dan penyampai radio, Shuib berharap perbuatan ‘menggali’ semula gambar lama Watie harus dihentikan kerana wanita itu sudah berubah ke arah lebih baik.

“Perbuatan itu saya memang tidak boleh tahan, tapi harapnya kalau sudah tuju ­ke arah kebaikan, semua harus lebih positif dan jangan ungkit perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya juga hargai sesiapa sahaja yang hadir dalam hidup saya walau siapa pun dia, macam saya hargai arwah (Siti Sarah) yang cukup luar biasa,” jelasnya.

Shuib dan Watie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Walimatulurus Shuib & Watie di Astro Bukit Jalil baru-baru ini.

Pengganti

Dalam pada itu, ditebak mengenai warga maya yang merasakan Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad cepat mencari pengganti, lelaki berusia 39 tahun itu mempunyai alasan tersendiri.

Iklan

“Terlalu cepat atau terlalu lambat itu perkara yang subjektif sebab bukan semua orang berada dalam situasi sama.

“Saya dengan anak-anak, sibuknya saya dan saya tahu kapasiti untuk bawa keluarga ini macam mana. Anak-anak pun kecil lagi dan tipulah kalau saya cakap boleh buat semua sendiri.

“Jadi cepat atau tidak, itu terpulang pada orang. Fokus saya untuk besarkan anak-anak dan saya pernah cakap pada Watie, kalau ini jalan yang ALLAH tentukan untuk kita, kalau ada rezeki kita sama-sama bawa anak-anak ‘jumpa’ Sarah di sana nanti,” tuturnya.

Iklan
Shuib menerima Watie seadanya.

Terdahulu, Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dalam sebuah majlis tertutup. Detik bersejarah penyatuan pasangan ini bakal dipaparkan menerusi tiga buah episod istimewa dalam rancangan Walimatulurus Shuib & Watie yang akan ditayangkan secara eksklusif bermula 24 Jun 2023, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sekadar info, Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19.