TIDAK mahu terus terikat dengan watak-watak antagonis yang begitu sinonim dengan dirinya, pelakon Dynas Mokhtar kini lebih banyak mempelbagaikan karakter yang dijayakan.

Bukan sahaja untuk mencari kelainan, tetapi dalam masa sama cuba mengambil cabaran dan melihat sejauh mana kemampuannya dalam lakonan.

Tambah Dynas atau nama lengkapnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, sebelum  hanya skrip dan jalan cerita yang menjadi keutamaan sebelum menerima sesuatu tawaran, tetapi kini dia mencari lebih daripada itu.

“Kalau dulu bila orang dengar sahaja nama saya ada dalam satu-satu drama, mereka dapat jangka, mesti saya bawa watak jahat, jadi orang kaya, rampas suami orang dan pelbagai karakter yang ke arah itu.

“Saya tidak nafikan memang dulu saya suka membawakan watak-watak sebegitu kerana ia memberi kepuasan tersendiri buat saya.

“Bagaimanapun saya rasa cukuplah dengan pengalaman itu. Tiba masa saya memberikan sesuatu yang berbeza dan ambil karakter yang saya tidak pernah atau jarang buat sebelum ini untuk memberi lebih variasi dalam lakonan,” jelas Dynas.

Terbaharu, bintang berusia 38 tahun itu menarik perhatian ramai menerusi kemunculannya dalam drama komedi, Keluarga Untuk Disewa yang kini sedang disiarkan di TV9 setiap Isnin hingga Khamis, jam 8.30 malam.

“Saya suka segalanya tentang drama ini. Bukan sahaja menampilkan skrip bagus dan jalan cerita menghiburkan, bahkan kualiti gambar drama ini juga sangat cantik macam drama Korea.

“Karakter saya pula sangat berbeza menerusi watak komedi yang memang jarang sekali penonton dapat lihat. Saya seronok kerana dapat eksperimen banyak benda dalam watak sebegini.

Iklan

“Sebenarnya tidak mudah membawakan watak komedi kerana pelakon itu kena pandai mencari keseimbangan. Tidak boleh berlebihan kerana silap percaturan akan nampak macam badut, kalau kurang sangat takut tak jadi kelakar pula,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Cari kelainan

Dalam perkembangan lain, Dynas turut berkongsi tentang penglibatannya dalam kerjasama melibatkan produk kesihatan Black Ginger atau Black G dan platform e-dagang, Shopee yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

Iklan

“Sejak dari dulu saya memang tidak suka terikut-ikut dengan apa orang lain buat kerana lebih cenderung menampilkan kelainan jika mahu tampil dengan sesuatu produk atau perniagaan.

“Sebagai pelakon dan model sebelum ini, ramai yang fikir saya akan tertarik untuk terlibat dengan bisnes fesyen atau produk kecantikan, tetapi saya buat sebaliknya dengan menjual pakaian ibu mengandung serta menyusu.

“Begitu juga kali ini apabila saya memilih untuk terlibat dalam produk kesihatan Black G bersama rakan perniagaan saya kerana saya mahukan cabaran dan beri sesuatu yang berbeza buat orang di luar sana,” katanya.