Siti Nordiana beri Amaran, single baru tiada kaitan dengan sesiapa

SITI NORDIANA
SITI NORDIANA
A
A
A

MESKI tahun 2021 kini sudah berada di penghujung, penyanyi Siti Nordiana terus rancak mengatur kerjaya seninya yang sebelum ini tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.

Terbaru Siti Nordiana, 37, atau lebih mesra disapa sebagai Nana tampil menerusi single Amaran yang menyaksikan kolaboratif pertamanya dengan bintang rap sedang meningkat naik, Bunga Isme.

Menurut Nana, lagu ciptaan bersama Bunga, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat itu menggabungkan genre hip hop, trap dan electronic dance music (EDM), sekali gus memberikan kelainan dalam muzik yang dibawa sebelum ini.

“Saya memang dah lama nak cuba sesuatu yang baharu dan mencari kelainan untuk disajikan kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya selama ini.

“Dalam masa sama, saya juga menerima banyak permintaan daripada peminat-peminat generasi muda yang mahukan saya tampil dengan muzik sebegini.

“Jadi ini merupakan kesempatan terbaik untuk saya menampilkan Amaran dalam usaha untuk terus memperluaskan muzik saya, sekali gus mendekati peminat-peminat generasi baharu,” jelas Nana ketika pelancaran muzik video Amaran di TGV 1 Utama baru-baru ini.

Ditanya adakah judul single duet yang mengangkat tentang pemerkasaan wanita itu ditujukan kepada pihak tertentu dalam isu kontroversi yang melanda dirinya ketika ini sebagaimana didakwa segelintir warga maya di media sosial, Nana pantas menafikan.

“Lagu ini tiada kena-mengena atau ditujukan kepada mana-mana pihak, apatah lagi ia telah dirancang sejak setahun lalu termasuk judulnya.

“Ketika pertama kali memuat naik bahan promosi lagu Amaran yang diberikan label, Warner Music Malaysia di Instagram, saya terkejut dan tidak sangka orang akan memberikan andaian sebegitu.

“Lagu ini hanya sekadar hiburan dan ceritanya berkisar tentang kekuatan dan penguasaaan wanita,” katanya.

Puji Bunga

Dalam pada itu, Nana yang baru sahaja dinobatkan sebagai Artis Versatil Popular dan Penyanyi Wanita Popular Xiaomi pada Anugerah Bintang Popular ke-34 batu-baru ini juga mengakui teruja dapat bekerja sama dengan Bunga Isme yang disifatkan sebagai unik dan berbakat besar.

“Saya tertarik untuk bekerjasama dengan Bunga kerana kelainan muzik yang dibawa, selain suka dengan caranya yang unik dan tersendiri.

“Sebenarnya perancangan untuk tampil dengan single duet Amaran ini dah lama dibuat, cuma kita simpan dulu kerana ketika itu saya sibuk dengan single bersama Khai Bahar, manakala Bunga pula terlibat dengan projek duet bersama Noraniza Idris.

“Jadi baru sekarang segala perancangan kami menjadi kenyataan. Saya harap peminat suka dengan kelainan ini dan dapat memberikan sokongan kepada kami berdua,” ujar Nana yang mahu tampil dengan lebih banyak karya pada tahun depan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca