PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi keterujaan mengenai kediaman mewah baru milik beliau di The Address Residences, Dubai, pada lewat malam Selasa.

Siti juga sempat membuat ‘house tour’ menerusi Insta Story dengan kapsyen: “Alhamdulillah. Home Sweet Home”.

Antara perkongsian Tok Ti menerusi Insta Story Instagram miliknya.

Perkongsian itu bertambah menarik apabila anak tirinya, Asyraf Khalid meluahkan rasa bangga terhadap Siti kerana berjaya memiliki kediaman jenis kondominium itu.

Asyraf atau nama lengkapnya Muhammad Asyraf Khalid, 30, meluahkan rasa gembira dan bangga atas pencapaian ibu tirinya yang membeli rumah di luar negara.

“Tahniah Mak Iti (panggilan untuk Siti) kerana berjaya memiliki kediaman pertama di Dubai. Kami sangat gembira dan berbangga melihat pencapaian Mak Iti.

“Ini merupakan satu inspirasi buat saya dan Tya untuk bekerja lebih kuat,” tulisnya dalam hantaran InstaStory.

Iklan

Asyraf juga berharap dapat mengikut jejak langkah Siti dan mendoakan penyanyi serta usahawan itu sentiasa dimurahkan rezeki.

“Doakan satu hari nanti, saya boleh ikut jejak langkah Mak Iti. Saya doakan Allah akan murahkan lagi rezeki ayah dan Mak Iti.

Iklan

“Mak Iti memang layak menerima semua ini atas kerja keras yang tidak henti-henti,” ujarnya yang sempat berseloroh tidak perlu membuat tempahan hotel jika berkunjung ke Dubai selepas ini kerana boleh menumpang di rumah tersebut.

Mengikut pencarian di Internet, kediaman yang terletak di The Address Beach Resort itu dianggarkan bernilai RM13 juta.