Salah rawat luka terbakar, boleh undang komplikasi

No Image Caption
A
A
A

LUKA terbakar boleh menyebabkan kulit kemerahan, melepuh atau pedih. Namun, tahap kecederaan tidak boleh dinilai berdasarkan tahap kesakitan semata-mata.

Kulit yang kelihatan putih dan tidak lagi terasa sakit mungkin menandakan kerosakan lebih dalam.

Menurut Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Dr Lee Shi Zhen dari Pantai Hospital Melaka, luka terbakar boleh berlaku akibat pelbagai sumber haba seperti air panas, wap, minyak panas dan api.

Punca kecederaan lain adalah daripada bahan kimia seperti asid dan alkali, renjatan elektrik serta radiasi.

"Risiko ini bukan hanya berlaku di tempat kerja, malah boleh terjadi dalam rutin harian di rumah. Aktiviti memasak mendedahkan orang dewasa dan kanak-kanak kepada risiko terkena minyak atau air panas.

"Amalan membakar sampah menggunakan petrol atau minyak tanah boleh mengundang kecederaan serius sekiranya api merebak secara tiba-tiba," ujar beliau.

No Image Caption

Langkah pencegahan di rumah termasuk memastikan periuk dan bekas berisi air panas diletakkan jauh daripada capaian kanak-kanak serta mengendalikan bahan mudah terbakar dengan lebih berhati-hati setiap masa.

Tahap kecederaan akibat terbakar dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu darjah pertama, kedua dan ketiga. Lecur darjah pertama melibatkan lapisan kulit paling luar, manakala darjah kedua boleh menyebabkan kulit melepuh kerana kecederaan melibatkan lapisan lebih dalam.

"Bagi lecur darjah ketiga, kerosakan boleh menembusi keseluruhan lapisan kulit sehingga menjejaskan saraf. Keadaan itu menyebabkan kawasan terlibat kelihatan putih atau pucat dan tidak lagi terasa sakit.

"Lagi sakit, saya rasa lebih baik, tetapi kalau berlaku keadaan kebas dan putih (pada bahagian yang melecuh), ia selalunya sudah (berada pada kedudukan) dalam (kulit) dan banyak saraf rasa (deria rasa) yang sudah rosak," ulas pakar tersebut

Justeru, jangan anggap luka yang kurang sakit sebagai kecederaan ringan. Pemeriksaan doktor penting bagi menentukan tahap kerosakan tisu dan rawatan yang sesuai.

Jika berlaku kejadian terbakar, jauhkan mangsa daripada punca kecederaan.

"Alirkan air paip bersuhu bilik pada kawasan terjejas selama kira-kira 20 minit bagi membantu menyejukkan kulit. Hubungi talian 999 jika kecederaan serius atau keadaan mangsa memerlukan bantuan kecemasan.

"Elakkan menyapu bahan seperti ubat gigi, tepung, minyak atau mentega pada luka kerana tindakan itu tidak membantu merawat kecederaan dan boleh menyukarkan pemeriksaan.

"Dapatkan penilaian perubatan, terutama jika luka melibatkan muka, tangan atau sendi, serta berpunca daripada bahan kimia dan elektrik," nasihat beliau.

Pembedahan cantuman kulit

Lecur darjah ketiga memerlukan perhatian segera. Dari segi keluasan, kecederaan yang melibatkan kira-kira 10 peratus permukaan badan kanak-kanak atau 15 peratus bagi orang dewasa perlu dinilai di hospital.

Kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap diabetes atau penyakit jantung turut mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi.

Kecederaan elektrik tidak boleh dipandang ringan walaupun kesan pada kulit kelihatan kecil.

"Arus elektrik berpotensi merosakkan otot, saraf dan jantung, sekali gus menyebabkan komplikasi yang tidak semestinya dapat dilihat pada permukaan kulit.

"Bagi luka serius, rawatan mungkin melibatkan pembedahan cantuman kulit. Prosedur itu menggunakan kulit daripada bahagian tubuh yang sihat, lazimnya paha, untuk menutup kawasan yang mengalami kerosakan.

No Image Caption

"Selepas luka sembuh, pesakit masih boleh berdepan masalah parut, kegatalan, kesakitan atau kulit yang menegang sehingga mengehadkan pergerakan. Bergantung pada keadaan, rawatan susulan seperti pakaian tekanan, laser atau suntikan steroid boleh dipertimbangkan bagi membantu menguruskan parut," jelasnya.

Menyentuh mengenai proses pemulihan juga memerlukan penjagaan harian.

"Pengambilan makanan berprotein membantu menyokong pembaikan tisu, manakala mandi tetap digalakkan untuk membersihkan peluh dan kotoran.

"Bagaimanapun, kawasan luka yang berbalut perlu dilindungi daripada air supaya balutan tidak basah dan risiko jangkitan dapat dikurangkan," ulas beliau.

Luka terbakar memerlukan perhatian sejak peringkat awal hingga proses pemulihan. Ketahui tanda-tanda kecederaan serius, memberikan pertolongan cemas dengan betul dan mendapatkan rawatan pada waktunya membantu mengurangkan risiko komplikasi serius.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang