DUNIA hiburan terus meriah dengan pelbagai aktiviti persembahan pentas yang rancak mengisi kalendar seni muzik tanah air.

Paling ditunggu tentunya konsert Malam Bulan Bintang yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 8 malam pada 4 Mac depan.

Tampil dengan tema muzik Islamik kontemporari, konsert tersebut bakal menyaksikan persembahan daripada barisan artis terkemuka tanah air dan antarabangsa seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir, Sabyan dan Opick.

Lebih menarik, persembahan berdurasi tiga jam lebih itu akan diiringi oleh kumpulan orkestra terkemuka diketuai oleh Chaan.

Mengisi tema konsert juga, sesi perkongsian Ramadan daripada penceramah undangan juga akan turut diselitkan di antara persembahan artis.

Menurut pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, jenama itu mahukan sesuatu yang berbeza, sekali gus memberikan kelainan dalam apa sahaja yang mereka tampilkan.

“Objektif konsert Malam Bulan Bintang adalah untuk melangkah keluar dari zon selesa dan ingin tampil berbeza berbanding jenama tempatan yang lain.

“Malam Bulan Bintang menjanjikan kelainan dengan menggabungkan persembahan antarabangsa dan tempatan yang bertaraf dunia, selain turut diiringi ensembel muzik orkestra.

“Konsert ini juga menyasarkan audiens yang mempunyai gaya hidup moden dan urban, berumur sekitar 25 hingga 40 tahun,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan pada Rabu lalu.

Tarikan

Tidak hanya itu Malam Bulan Bintang juga menyediakan tempat duduk yang bersudut 360 darjah serta sistem bunyi 360 darjah yang semestinya memberi pengalaman berbeza kepada penonton yang hadir.

“Ia bertujuan untuk memberikan penonton menikmati pengalaman bunyi berkualiti tinggi dan mengasyikkan,” ujarnya.

Iklan

Meski konsert berkenaan bagaimanapun bakal bertembung dengan Blackpink World Tour yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari dan waktu yang sama, pihak penganjur yakin Malam bulan dan Bintang mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Kami yakin konsert ini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Apatah lagi pihak kami juga sentiasa berani menampilkan kelainan dan telah dibuktikan dengan pengalaman mengendalikan dua konsert terdahulu menerusi jenama Hausboom Music.

“Tahun lalu, konsert yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu dihadiri oleh 13,000 pengunjung dan mendapat sambutan hangat.

”Jadi untuk konsert Malam Bulan Bintang di Axiata Arena ini adalah satu cabaran yang perlu kami lakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Iklan

Tiket konsert Malam Bulan Bintang dijual dengan harga RM49 (Early Bird), RM99, RM119, RM149 dan RM199 (VVIP). Pembelian boleh dilakukan secara online menerusi www.ticket2u.com.my.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.