PUNYA jiwa kental, hati yang tabah dan semangat berani, mendorong usahawan muda ini untuk terjun ke bidang nyanyian.

Bagai impian menjadi kenyataan, Sofiaa Marieylla atau nama sebenarnya Wan Siti Mariam Wan Mahyudin tidak menunggu lama untuk tampil dengan single, Akulah Jerung Merah.

Lagu hasil ciptaan komposer berpengalaman, Hadi Rumnan dan penulis lirik berbakat, Ajim Maze merupakan taruhan pertama Sofiaa.

“Pada mulanya ramai yang tak percaya, namun berkat kesabaran dan kesungguhan dalam bidang nyanyian dan perniagaan, dapat juga saya hadir dengan single sendiri,” katanya yang popular dengan jolokan Mummy Jerung.

Tambah wanita yang berasal dari Marang, Terengganu itu, dia kini boleh berbangga apabila disunting secara rasmi menjadi artis di bawah naungan Rocketfuel Indie Space Station (ISS) yang merupakan pembahagian (division) terbaharu Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.

“Tagline Skuad Jerung Merah yang merupakan sebahagian daripada gimik pemasaran perniagaan saya di media sosial sangat sinonim dengan saya, sehinggalah video-video tersebut menjadi viral di TikTok dan disebut-sebut masyarakat Malaysia.

“Tak disangka-sangka, rupa-rupanya pihak Rocketfuel berkenan menjadikan saya sebagai artis rakaman.  Saya terima pelawaan tersebut dengan hati yang terbuka kerana inilah peluang keemasan yang saya nanti-nantikan selama ini,” ujar wanita berusia 24 tahun itu.

Akulah Jerung Merah merupakan sebuah lagu bergenre pop rancak kemelayuan yang santai dengan ritma yang catchy bagi menambat hati para pendengar. Manakala bait-bait korusnya senang diingati dan pasti menjadi siulan anak-anak remaja dengan jalan ceritanya yang menghiburkan.

Iklan

“Jalan cerita lagu ini mudah sahaja, ia mengenai Mummy Jerung iaitu saya sendiri yang melalui proses percintaan bersama seorang pemuda dengan pengakhiran yang bahagia, kiranya sehingga ke jenjang pelamin.

“Ramai yang nak tau, kenapa Jerung Merah? Jawapannya mudah, sebab jerung suka ngappp!  Jerung Merah ialah Sofia Marieylla sendiri,” jelasnya.

Iklan

Lagu Akulah Jerung Merah boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube RocketFuel Network.