PELAKON dan penerbit, Fadzil Zahari mendedahkan dirinya diganggu oleh seorang wanita yang sering menghantar mesej dan gambar yang seksi kepadanya sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Fadzil, 38, yang juga merupakan suami kepada pelakon Yana Samsudin, wanita berkenaan mula berbuat demikian semenjak isterinya sedang berpantang anak kedua mereka pada November lalu.

“Banyak kisah yang kita dengar berkenaan suami atau isteri yang curang menerusi mesej.

“Kalau anda semua tak nak terlibat dalam benda-benda macam ini, terus cegah dari awal.

“Jangan melayan orang mesej ‘hai hai’ kerana apabila jadi perbualan, ia akan membawa kepada perkara seterusnya,” kata Fadzil menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik di laman Instgramnya hari ini.

Dalam pada itu, Fadzil mengakui ada meletakkan nombor telefonnya di media sosial untuk tujuan perniagaan dan memang tidak ada masalah membalas mesej yang dikirimkan jika ia berkaitan jurusan kerja.

Bagaimanapun kata Fadzil, mesej daripada wanita terbabit bukan untuk tujuan itu, sebaliknya lebih kepada bertanya pelbagai soalan merepek tentang dirinya.

“Saya sudah beberapa kali menjelaskan yang saya ini suami orang dan mempunyai dua orang anak, malah menyarankan dia mencari lelaki bujang lain tetapi dia tidak mengendahkannya.

“Pernah sekali ketika dia mesej dan mengirimkan gambar seksinya, saya tunjukkan kepada staff saya sebagai saksi jika ada apa-apa perkara berbangkit yang berlaku di kemudian hari.

“Memang betul tekaan saya kerana selepas itu gambar tersebut telah dipadam. Nasib baik saya mempunyai saksi yang tahu tentang kejadian itu.

“Biarpun saya menegur perbuatannya itu, dia tidak ambil peduli sebaliknya berkata hanya mahu berkawan dan tidak kisah tentang status saya.

Iklan

“Dia terus menghantar mesej sama berulang kali meskipun saya tidak membaca atau melayannya,” jelasnya.

Kesal dengan apa yang berlaku, Fadzil mengakui tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perbuatan wanita terbabit semakin melampau dan berterusan menganggunya.

“Kalau dia melampau sangat, saya akan buat laporan polis atas dakwaan gangguan seksual dan mungkin juga disusuli dengan saman.

Iklan

“Selepas buat video ini, saya akan block nombor dia. Saya cuma nak pesan pada wanita-wanita di luar sana, pergilah ‘sondol’ lelaki bujang, tak payahlah nak ‘sondol’ laki orang,” tegasnya.

Fadzil dan Yana mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 5, dan Aura Aisy Sofea yang kini berusia dua bulan.

(SUMBER & FOTO: Instagram Fadzil Zahari)