SUATU ketika, nama Suki Low pernah menjadi perhatian ramai selepas menjuarai program realiti TV, One In A Million (OIAM) musim pertama pada usia 16 tahun. Kefasihannya bertutur dan menyanyi dalam bahasa Melayu turut membuka peluang luas kepada beliau untuk membina nama dalam industri hiburan perdana.

Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga bersama suami, Jeremy Chong, pada 2012 dan seterusnya bergelar ibu dua tahun kemudian, Suki, 31, seakan hilang daripada radar dunia hiburan. Apatah lagi dengan kemunculan ramai penyanyi baharu, namanya semakin dilupakan.

Namun bintang yang pernah dinobatkan sebagai Artis Harapan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (2008) itu bakal menjadi sebutan semula menerusi penglibatannya dalam program nyanyian popular, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan yang akan bermula pada 21 November ini.

“Ramai yang fikir saya sudah mengundurkan diri dalam dunia seni setelah lama tidak nampak di kaca televisyen (TV) atau mengadakan persembahan secara terbuka.

“Hakikatnya saya masih lagi menyanyi, cuma tidak seaktif dahulu kerana terikat dengan komitmen kepada rumah tangga, terutama setelah bergelar ibu.

“Selain menyanyi untuk persembahan yang diadakan secara tertutup, saya turut terlibat dengan projek-projek khas di TV seperti program Hari Kemerdekaan, melakukan voice over dan sebagainya,” ujarnya kepada SinarPlus.

Mengulas mengenai penglibatan sebagai salah seorang peserta GV8, beliau yang pernah popular dengan lagu Terlalu Mencintaimu itu, menganggap program terbabit sebagai platform terbaik untuk kembali mencari rentak dan menimba pengalaman baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

“Saya tidak anggap penglibatan dalam GV8 sebagai comeback kerana saya sendiri tidak pernah meninggalkan kerjaya nyanyian.

“Apa yang pasti saya sangat teruja diberikan peluang menyertai program ini kerana ia adalah platform terbaik untuk mencabar diri keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, ungkap Suki, takdir sekali lagi menemukannya dengan Datuk Syafinaz yang bakal berada di kerusi juri tetap GV8 bagi mengadili peserta yang bertanding, sekali gus mengimbau memori lalu saat beraksi dalam program OIAM.

“Sejujurnya saya terkejut apabila mengetahui Syafinaz merupakan salah seorang juri tetap GV8. Saya mula rasa ada tekanan kerana beliau juga pernah menjurikan saya dalam pertandingan yang disertai 15 tahun lalu.

“Tekanan yang dimaksudkan di sini bukanlah bersifat negatif, tetapi lebih kepada cabaran untuk saya memberikan persembahan terbaik bagi menunjukkan perubahan dan kematangan dalam nyanyian kerana beliau sudah menyaksikan saya menyanyi sejak usia 16 tahun lagi.

Iklan

“Apa-apa pun, saya bersemangat untuk kembali menyanyi di depan Syafinaz selaku juri dan berharap dapat melakukan yang terbaik,” ujarnya teruja.

Ibu kepada tiga anak

Dalam perkembangan lain, Suki yang juga ibu kepada tiga anak mengakui bahagia dengan kehidupannya kini. Biarpun sibuk dengan rutin menguruskan tiga permata hatinya iaitu Ethan, 7, Eli, 7, dan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 11 bulan, beliau gembira dengan apa yang dimiliki.

Tidak pernah menyesal mengetepikan seketika kerjaya nyanyian demi keluarga, ibu muda itu percaya pilihan tersebut berbaloi untuk menjadikan kehidupannya lebih seimbang.

“Selepas bergelar ibu, saya memilih untuk memberikan lebih tumpuan kepada keluarga berbanding perkara lain. Bukan kerana permintaan suami, sebaliknya ia adalah kemahuan saya sendiri.

Iklan

“Saya tidak mahu terlepas melihat proses pembesaran anak-anak yang saya kira cukup pantas dan sayang untuk dilepaskan.

“Jadi saya sentiasa berasa seronok dan bahagia menguruskan anak-anak, terutama ketika pandemik di mana sepanjang masa saya serta suami meluangkan masa bersama mereka di rumah,” katanya yang kini aktif mengusahakan bisnes kek dan bunga bersama seorang rakan sejak lebih setahun lalu.

 

(FOTO: Azrul Rafi – Astro)