SIRI animasi legenda Malaysia popular, Keluang Man bakal kembali dan diangkat ke layar perak.

Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Kerjasama ini sekali gus menjadi titik permulaan buat Astro Shaw dan Iconic Animation Studio dalam memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu serta bakal melahirkan universe adiwira tempatan terbesar.

KELUANG MAN
Wakil pihak Astro Shaw, Raja Jastina (enam dari kiri) bersama Pengarah Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Muhamad Firdaus Bin Omar (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Iconic Animation, Ida Rahayu Md Noor (lima dari kiri).

Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000. Siri animasi itu diilhamkan oleh Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Md Noor serta pertama kali disiarkan pada tahun 1998.

Mempunyai 7 musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita amat unik yang mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi adiwira bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.

Iklan

Watak adiwira tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sikap kejujuran yang tinggi.

Rentetan daripada reaksi positif para peminat dan penonton sejak animasi ini ditayangkan, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan lagi animasi kegemaran ramai ini.

Iklan

Dengan kehadiran filem baru Keluang Man yang bakal diterbitkan, Astro Shaw dan Iconic Animation Studio komited untuk menghasilkan karya terbaik dengan memastikan legasi Keluang Man terus hidup bersama generasi baharu dan akan datang.

Keluang Man bakal memulakan pra-produksi dalam masa terdekat dan pihak penerbit akan mengumumkan jangkaan tayangannya di pawagam kelak.