SAMBUTAN Aidilfitri pada tahun ini diraikan dengan cukup meriah bagi kebanyakan orang, apatah lagi setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

Namun berbeza pula bagi pelakon Syafie Naswip yang menyifatkan raya tahun ini sedikit suram buat dirinya dan keluarga.

Menurut Syafie, dalam tempoh dua tahun dalam pandemik, dia telah kehilangan 18 orang ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Selalunya sambutan raya saya sekeluarga sangat meriah kerana saudara-mara terutamanya sebelah ibu ramai dan banyak aktiviti yang dilakukan bersama.

“Bagaimanapun dalam sekelip mata sahaja dalam tempoh pandemik ini, kami telah kehilangan 18 orang ahli keluarga yang meninggal akibat Covid.

“Memang terasa sangat kerana kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang dah berusia dan selalu memeriahkan raya kami. Sekarang hanya tinggal anak-anak mereka sahaja dan suasana pun dah jadi lain sikit,” ujar Syafie kepada SinarPlus.

Pelakon sitkom raya Apartmen Putra itu juga mengakui sangat terkesan dengan kehilangan ibu saudaranya kesayangannya, Nurhasnah yang menghembuskan nafas terakhir beberapa hari sebelum Ramadan lalu atas sebab sama.

“Ibu saudara saya meninggal dunia empat hari sebelum Ramadan lalu selepas beberapa hari dijangkiti Covid. Terkejut, tapi saya reda dengan pemergiannya. Terngiang-ngiang gelak tawanya yang banyak menceriakan hidup saya sebelum ini.

“Arwah merupakan orang yang bertanggungjawab membawa saya masuk dalam industri, malah dia jugalah menemani saya ketika pertama kali hadir ke sesi uji bakat lakonan.

“Walaupun tidak dapat bersama-sama ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, saya dan keluarga bersyukur kerana urusan perjalanan ‘akhir’ arwah dipermudahkan,” katanya.

Kehidupan positif

Dalam perkembangan lain, bintang berusia 30 tahun itu mengakui masih selesa memegang status solo dan tenang menjalani kehidupan yang positif bersama keluarga tercinta.

Iklan

“Pertama sekali, saya pernah sayangkan seseorang. Saya pernah jaga hubungan itu baik-baik tapi jodohnya tak panjang.

“Sekarang ini, saya lebih relaks dan bahagia ada famili dan kawan-kawan yang positif. Saya seronok dengan kehidupan saya sekarang ini,” katanya yang pernah putus tunang dengan seorang pelakon sebelum ini.

Syafie sambut raya yang sederhana bersama keluarga.

Berkongsi perkembangan kerjaya seni, Syafie berkata, jadual kerjanya kini kembali sibuk dengan penggambaran beberapa drama dan filem baharu.

“Sepanjang Ramadan lalu saya mengambil kesempatan untuk berehat seketika kerana mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga, selain menumpukan aktiviti pada bulan mulia itu.

Iklan

“Alhamdulillah saya juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem baharu berjudul Fanna. Ia merupakan sebuah filem aksi gangsterism yang turut menampilkan ramai pelakon hebat termasuk Fify Azmi.

“Habis raya semua orang kembali sibuk dengan kerja. Saya harap dapat tampil dengan lebih banyak lagi naskhah baharu untuk dikongsi dengan peminat seni tanah air,” akhirinya.

(FOTO: Instagram Syafie Naswip)