DEMI masa depan anak-anak, pasangan selebriti sensasi, pengarah Syamsul Yusof dan Puteri Sarah akur dengan perjalanan rumah tangga mereka yang menemui titik nokhtah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Syamsul, 39, meluahkan rasa syukur apabila segala urusan dan proses penceraian mereka hari ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah hari ini semuanya sudah selesai. Proses penceraian hari ni berjalan lancar sebagaimana kami bincang sebelum ini. Semua ini demi kebaikan anak.

”Segala keperluan dan perbelanjaan anak-anak selepas ini, akan ditanggung oleh saya. Semuanya okey, semuanya baik-baik sahaja. Hari ini kami bercerai dengan talak satu.

“Ini adalah yang terbaik. Kalau kami hanya memikirkan tentang diri kami masing-masing sahaja, ia akan memberi kesan kepada anak-anak,” katanya yang kini menganggap bekas isteri sebagai kawan demi anak-anak.

Tambah Syamsul, apa yang berlaku itu adalah ujian kehidupan buatnya dan Puteri Sarah.

“Kami pun bukan muda lagi, umur dah nak masuk 40 tahun. Ini adalah ujian di usia yang begini, jadi perlu kuat dan alhamdulillah pengakhirannya baik.

“Diharapkan Sarah dapat meneruskan kehidupannya dengan baik, begitu juga dengan saya. Kami masing-masing mendoakan yang terbaik. Walaupun kami berpisah, kami tidak berdendam lag., Insya-ALLAH mudah-mudahan.

“Sebagai ibu saya percaya Sarah pun tidak mahu anak-anak merasakan berjauhan dengan ayahnya. Begitu juga dengan saya yag tidak mahu anak-anak rasa kesan yang besar dengan perpisahan kami. Jadi ini adalah terbaik buat semua,” jelasnya.

Sementara itu, Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin , 38, juga senada dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dan tenang apabila kemelut antara mereka sudah selesai.

Menurut Sarah, semalam mereka berdua ada membuat perjumpaan dan telah mencapai persefahaman dan persetujuan bersama demi kebaikan masa depan anak-anak mereka.

“Alhamdulillah semua selesa. Semalam kami sudah berjumpa dan menyelesaikan semua perkara A-Z dengan lebih terperinci.

Iklan

“Tentang apa perasaan saya selepas diceraikan ini, biarlah saya seorang sahaja yang tahu apa yang saya rasa,” katanya.

Biarpun hak penjagaan anak-anak diberikan kepadanya, pelakon drama Hijrah Jannah itu berkata, Syamsul boleh pada bila-bila masa datang berjumpa dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan Syamsul selaku defendan, membayar nafkah bulanan dua anak mereka sebanyak RM6,000, insurans (RM3,500 seorang) dan percutian (RM5,000 seorang).

Bayaran lain juga perlu dilunaskan, merangkumi perbelanjaan makan minum, pendidikan dan perubatan.

Iklan

Selain itu, mahkamah juga merekodkan defendan perlu membayar nafkah RM15,000 dalam tempoh edah kepada Puteri Sarah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi