SELEPAS dua hari mendapat rawatan di hospital akibat kemalangan jalan raya pada Isnin, pelakon Azhan tampil berkongsi perkembangan dirinya yang kini dalam keadaan stabil.

Malah Azhan, 46, menerusi perkongsian yang dilakukan di laman Instagram hari ini, turut mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya, pelakon Beto Kusyairy dan isteri yang banyak membantunya dalam tempoh sukar itu.

“Syukur atas izin ALLAH untuk saya terus bernafas. Doktor kata tulang scapula (belikat) saya pecah tapi dua insan hebat ini jadi tulang belakang saya untuk terus berdiri. Dulu dan kini, harta paling lumayan anugerah Ilahi buat saya.

“Terima kasih sahabat @beto_kusyairy & @tishashahar dan juga sahabat-sahabat lain yang tak henti-henti bertanya khabar. Semoga syurga menunggu kalian di sana nanti.

“Terima kasih juga untuk ingatan dan doa-doa semua. Ampun maaf tak dapat nak jawab dan balas semua. Insya-ALLAH saya OK atas izin ALLAH,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, aktor yang cukup sinonim dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama bersiri Nur itu, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang menghulurkan bantuan di lokasi kejadian.

“Buat Muhammad Firdaus dan sesiapa saja yang bantu saya pada hari kejadian, 17 Januari 2022, sekitar jam 12.30 tengah hari di jalan Templer Park menghala Kuala Lumpur, Semoga ALLAH merahmati kalian. Terima kasih atas jasa baik anda.

“Buat dua orang abang lori yang berdiri tu, terima kasih kerana berjaya hentikan lori dan tak langgar saya,” katanya.

Azhan yang difahamkan dalam perjalanan menuju ke lokasi penggambaran ketika kemalangan tersebut berlaku turut menitipkan pesan agar penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan sama agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Iklan

“Buat dua orang adik yang naik motor kapcai tengah bersembang tak pandang depan lepas itu tiba-tiba masuk lane saya nak buat pusingan u-turn, semoga anda tak apa-apa.

“Maaf saya tinggikan suara kat anda dalam ambulan hari tu. Mohon jangan bawa motor macam itu lagi. Kita sama-sama syukur ALLAH bagi peluang kita hidup. Maaf juga buat motor awak hancur,” katanya.

Terdahulu, Beto Kusyairy pada Selasa memaklumkan Azhan Rani terlibat dalam kemalangan raya ketika menunggang motosikal berkuasa besar miliknya sebelum bertembung dengan sbuah lagi motosikal lain di Jalan Templer Park.

Iklan

Azhan mengalami kecederaan melibatkan tulang belikat dan retak tiga tulang rusuk masih dirawat di sebuah hospital di ibu kota dan kini dalam keadaan stabil.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Azhan Rani (@azhan_rani)

(FOTO: Instagram Azhan Rani)