SEBUT sahaja nama Nabila Huda, pasti semua dapat mengingati lakonan berkesan yang dibawakan anak kepada penyanyi lagenda, Amy Search itu.

Berilah apa sahaja watak, sebagai wanita kampung atau seorang bekerjaya, pasti dibawakan dengan penuh berkesan.

Terbaharu, pelakon dan pengacara itu berkongsi keterujaannya apabila diberi peluang untuk membawa watak yang sudah lama diidamkan.

Jelas Nabila atau mesra dengan panggilan Abil, tawaran yang diberikan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Osman Ali sebagai wanita bisu amat sukar untuk ditolak.

“Saya memang mengagumi karya Osman Ali daripada filem Anak Halal lagi. Bila abang Osman tawarkan untuk bawa watak wanita bisu bernama Maimon, saya memang nak sangat buat, tak kira apa pun.

“Saya sudah lama menantikan skrip dan watak begini, cuma saya tidak pernah berkongsi secara umum.

“Filem Telaga Suriram adalah sebuah naskhah yang luar biasa bagi saya. Tak sabar untuk melihat bagaimana abang Osman mahu membisukan orang yang banyak cakap seperti saya,” ujarnya sambil berseloroh.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit, Mont Kiara baru-baru ini.

Selain Nabila, filem ke-17 arahan Osman ini turut dibintangi Maya Karin, Farid Kamil dan Scha Alyahya.

Setelah beberapa kali menolak, Nabila teruja akhirnya dapat bekerjasama dengan pengarah berkaliber, Osman Ali.

Tambah Nabila, Maimon bakal memberi cabaran tersendiri buatnya kerana dia tidak boleh bercakap dan banyak bermain dengan ekspresi wajah.

Justeru sebagai persediaan, pelakon utama M4M4 itu memilih untuk membiasakan diri tidak bercakap.

“Apa yang saya diberitahu, Maimon sangat rapat dengan Suriram, ibarat adik-beradik. Justeru kehilangan Suriram nanti akan memberi kesan kepadanya.

Iklan

“Buat masa ini saya belum boleh bayangkan eskpresi Maimon. Cuma dari segi persediaan fizikal, saya akan gelapkan kulit dan turunkan berat badan.

“Selain itu, saya sudah cakap dengan suami dan anak saya untuk bersedia melihat saya lebih banyak mendiamkan diri di rumah selepas ini,” jelasnya sambil tertawa.

Pengorbanan kecil

Iklan

Sementara itu, ditanya tugasnya selaku pengacara Melodi, figura berusia 37 tahun tetap komited dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Nabila bersedia berulang alik dari utara ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu.

“Saya sudah minta kebenaran untuk dilepaskan pada setiap Sabtu untuk pulang ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke set pada hari Ahad atau Isnin.

“Lakonan memang kerjaya utama saya, manakala pengacaraan saya masih dalam fasa belajar.

“Saya kira ini pengorbanan kecil saya untuk berulang alik sepanjang tempoh penggambaran sebab saya tidak boleh buat pilihan. Dua-dua adalah tanggungjawab yang perlu saya laksanakan,” katanya menutup perbualan.