PENYANYI Bob Yusof mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai naib juara program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang baru sahaja melabuhkan tirai pada Ahad.

Akui Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Yusof, kemenangan tersebut adalah di luar jangkaannya, apatah lagi apabila berdepan saingan sengit daripada finalis lain yang turut tampil dengan persembahan terbaik masing-masing.

“Semua orang tahu GV9 ini sangat mencabar kerana dibarisi penyanyi-penyanyi hebat yang sudah diketahui kemampuan mereka.

“Jadi saya memang tidak meletakkan sebarang jangkaan untuk menang, sebaliknya hanya fokus untuk memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan.

“Terutamanya untuk segmen battle rap di mana saya banyak habiskan masa buat persediaan di situ. Tugasan itu sangat mencabar buat saya dan saya hanya fikir nak lakukan yang terbaik sahaja,” ujar Bob kepada SinarPlus.

Pentas akhir GV9 yang mengangkat tema Kemanisan Di Akhir Garisan itu menyaksikan Bob, 41, tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu Sejati dan Rahasia Perempuan untuk segmen solo, manakala Ice Ice Baby dan Swipe bagi pusingan battle rap bersama Hazrul Nizam.

Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Seorang Teman itu memperoleh markah sebanyak 76.28 peratus (%) dan hanya ketinggalan 9.58% daripada markah Jaclyn Victor selaku juara dengan 85.86%.

Terharu dengan sokongan peminat, Bob bertekad untuk terus menambah baik kerjaya seninya dengan menampilkan lebih banyak karya baharu pada masa akan datang.

Malah selepas menimba pengalaman dalam GV9, Bob akui lebih berani untuk mencuba pelbagai genre baharu termasuk lagu rock, sekali gus memenuhi permintaan peminat yang ingin melihat kelainan daripadanya.

“Alhamdulillah saya gembira kalau penonton benar-benar terhibur dengan persembahan saya menerusi lagu Sejati itu. Selepas ini mungkin saya boleh cuba buat lagu daripada genre sebegitu dan mencuba benda baharu.

“Sebenarnya ketika menyertai GV9 soal kemenangan tidak pernah timbul dalam fikiran saya, sebaliknya hanya mahu menjenamakan semula nama Bob Yusof dalam industri.

Iklan

“Jadi pengalaman dalam GV9 ini akan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk misi itu. Saya bersedia membuat pembaharuan demi menambah baik kerjaya seni saya,” katanya.

Bob bersama Jac dan Shila bersama trofi masing-masing selepas diumumkan sebagai pemenang.

Mengulas tentang wang kemenangannya, penyanyi kelahiran Sarawak itu mengakui masih belum mempunyai sebarang perancangan.

“Saya tidak mempunyai sebarang perancanagn mengenai duit kemenangan itu. Apa yang pasti saya akan gunakan sebaik mungkin untuk kegunaan sendiri, keluarga dan team Bob Yusof.

Iklan

“Insya-ALLAH mungkin ia juga akan digunakan untuk buat lagu atau keperluan lain dalam kerjaya nyanyian saya,” kata Bob yang terharu dengan sokongan peminat selama berada dalam industri.

GV9 menyaksikan Jaclyn Victor dinobatkan sebagai juara, manakala Shila Amzah ditempat ketiga, diikuti Tomok, VE serta hairul Nizam yang mengisi kedudukan keempat, kelima dan keenam.

(FOTO: AZRUL RAFI – ASTRO)