PENYANYI muda berbakat dari Indonesia, Anggi Marito kembali mengeluarkan karya terbaru menerusi single bertajuk Tak Segampang Itu.

Ia adalah single keduanya sebagai penyanyi profesional yang juga dirilis di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.

Sebelum ini, pada November 2021, Anggi yang juga peserta pencarian bakat Indonesian Idol musim ke-11 telah mengeluarkan single pertamanya berjudul Cara Cintamu.

Kali ini menerusi lagu Tak Segampang Itu, Anggi kembali menyajikan muzik pop balada romantik sebagai warna muziknya, manakala untuk tema cerita, ia masih tentang percintaan.

Masih memilih untuk bekerjasama dengan salah seorang pencipta lagu hits percintaan, Mario G Klau, Anggi turut menarik pemuzik senior terkenal iaitu Tohpati untuk mengaturkan lagu tersebut.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa saya sebenarnya akan bekerja dengan Mario lagi tetapi secara jujur, saya sangat menyukai lagu kedua ini.

“Bermula daripada lirik yang mudah difahami dan manis,” ujar Anggi.

Lagu Tak Segampang Itu menceritakan tentang seseorang yang belum boleh melupakan bekas kekasihnya.

Walaupun ada orang baharu yang datang dan dianggap sempurna tetapi tidak boleh diterima kerana masih ada bayangan bekas kekasihnya itu.

Biarpun hasil akhir lagu Tak Segampang Itu sangat baik dan sedap untuk didengari, namun terdapat beberapa perkara yang amat mencabar dalam proses pembikinannya sehingga dapat disampaikan dengan sempurna oleh Anggi.

“Salah satu kesulitan yang saya hadapi dalam lagu ini adalah cara untuk menghayatinya.

Iklan

“Kerana mendengar back story lagu ini yang sangat menyayat hati, ia satu cabaran untuk saya bagi mencari cara supaya saya boleh meletakkan ‘kesedihan’ dalam Tak Segampang Itu,” tambah Anggi.

Selain menyanyi, bintang berusia 21 tahun ini juga boleh bermain alat muzik.

Harapan

Anggi berharap lagu tersebut boleh dikaitkan dengan ramai orang dan menjadi jawapan serta inspirasi kepada yang mendengar.

“Ada tiga sebab kenapa lagu ini harus didengarkan. Pertama, lagu ini pastinya boleh dikaitkan dengan ramai orang.

Iklan

“Kedua, lagu ini sesuai untuk anda yang ingin menikmati gelora mengenang kekasih. Akhir sekali, lagu ini sangat mudah untuk diingati dan akan melekat di fikiran anda,” akhiri Anggi.

Lagu Tak Segampang Itu telah dilancarkan sejak 2 November 2022 di Indonesia dan boleh didengari di semua digital platform.

Muzik video lagu tersebut yang diarahkan oleh Prialangga berkonsepkan ala drama Korea juga sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube Anggi Marito.