Tampil berambut pendek, Yasin Sulaiman terima rawatan bipolar

YASIN SULAIMAN
YASIN SULAIMAN
A
A
A

PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman sudah mendapatkan rawatan penyakit bipolar kali pertama di Hospital Sungai Buloh pada Selasa, selepas ditangkap berhubung kes dadah, Mac lalu.

Peguam, Ariff Azami Hussein berkata demikian ketika prosiding kes membabitkan Muhammad Yasin atau lebih dikenali sebagai Yasin yang berdepan pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama di hadapan Hakim Jamaludin Mat dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Menurutnya, Yasin akan mendapatkan rawatan susulan tersebut dalam tempoh enam minggu di hospital sama.

"Rawatan itu telah diuruskan pihak penjara dan anak guam telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada Selasa," katanya.

Turut mewakili pelantun lagu Mimpi Laila itu ialah peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff.

Semasa prosiding, Norhashimah memohon tarikh sebutan kes untuk penyerahan laporan kimia berkenaan.

"Hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes, namun pihak kami belum menerima laporan kimia bagi kes itu.

"Maka kami mohon agar mahkamah dapat menetapkan tarikh baharu untuk laporan tersebut," katanya.

Namun, Ariff Azami memohon agar tarikh sebutan yang lebih singkat iaitu dalam tempoh dua minggu.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun depan untuk serahan laporan kimia.

Ketika dibawa keluar mahkamah, Yasin sempat mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; kumpulan nasyid, Brothers; pelakon, Wardina Safiyyah dan rakan-rakan yang hadir memberi sokongan kepadanya.

“Semoga kerajaan mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik (dadah),” katanya.

Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, beliau dan ahli keluarga sentiasa memberi sokongan serta melawatnya di Penjara Sungai Buloh setiap minggu.

“Kami tidak mahu dia rasa tidak bersemangat dan akan pastikan dia makan ubat secara konsisten.

"Anak-anak dia juga berada dalam keadaan baik dan Yasin akan menghubungi mereka sekali seminggu,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca