AKTRES berbakat besar, Maya Karin mendedahkan, masalah anxiety (kebimbangan melampau) membuatkan dia terlepas peranan besar dalama dua buah projek.

Ujar Maya atau nama penuhnya Maya Karin Roelcke, 42, dia gagal mendapatkan dua watak dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan filem antarabangsa, Crazy Rich Asian.

“Masa itu untuk kedua-dua sesi ujibakat itu memang saya gagal lakukan yang terbaik disebabkan anxiety. Tangan saya menggigil dan jadi berpeluh.

“Bagaimanapun selepas lapan tahun, saya kini sudah boleh mengawal anxiety tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada doktor,” kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) itu.

Maya bakal tampil dengan filem Puteri Santubong tidak lama lagi.

Maya berkata demikian dalam sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS).

Dalam pada itu, diusik mengenai kehidupan peribadinya, Maya mengakui didekati beberapa lelaki termasuk dari Australia.

Iklan

Namun, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam itu lebih selesa memberi tumpuan terhadap karier seninya terlebih dahulu.

“Buat masa ini memang ada la tiga ke empat calon lelaki tempatan yang saya sedang kenal. Tetapi untuk ketika ini, saya lebih selesa untuk menumpukan perhatian kepada kerja dahulu.

Iklan

“Lagipun ada teater dan beberapa karya seni yang sedang saya fokus dan itu menjadi keutamaan saya dahulu,” katanya.

Untuk rekod, Maya sebelum ini berkahwin dengan lelaki Itali, Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose pada tahun 2008 sebelum bercerai talak satu, dua tahun kemudian.