STATUS sebagai isteri dan ibu ternyata tidak pernah menjadi halangan buat Uyaina Arshad untuk terus aktif memajukan kerjaya seninya sebagai pelakon mahupun pengacara.

Malah tahun 2023 bakal menyaksikan pelbagai perancangan diatur melibatkan beberapa tawaran yang disifatkan beliau sebagai rezeki anak.

Menghargai setiap peluang yang datang, pemilik nama sebenar Shaidatul Naseha Uyaina itu sentiasa memberi komitmen terbaik dalam memastikan hasil yang diperoleh berbaloi dengan usaha yang dilakukan.

“Alhamdulillah banyak tawaran yang datang baik dalam bidang pengacaraan mahupun lakonan. Mungkin ini rezeki anak.

“Pada tahun ini saya sudah memasuki tahun ketujuh bersama program bual bicara Wanita Hari Ini dan sehingga kini masih teruja mengendalikan program itu.

“Untuk lakonan pula, saya kini agak selektif dan teliti memilih skrip yang berbaloi untuk masa dan tenaga yang saya berikan. Bila sudah bergelar isteri dan ibu, saya mahu pastikan apa yang dilakukan itu berhasil positif dan bukan sekadar dapat penat sahaja,” katanya.

Di sebalik kesibukan dalam kerjaya seni, keluarga tetap menjadi keutamaan Uyaina.

Tidak hanya itu, wanita berusia 31 tahun ini juga teruja apabila masih mendapat tawaran pengacaraan daripada stesen televisyen (TV) Indonesia selepas tiga tahun tidak terlibat dengan sebarang program di sana akibat pandemik Covid-19.

Nama Uyaina cukup dikenali di negara jiran itu selepas menjuarai pertandingan Puteri Muslimah Asia pada tahun 2018 dan seterusnya menjadi selebriti pertama Malaysia yang mengendalikan program realiti TV popular, Dangdut Akademi Asia terbitan stesen TV Indosiar untuk musim keempat.

“Sebelum pandemik, saya memang kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta kerana terikat dengan komitmen kerja di sana.

“Namun bila pandemik berlaku dan adanya sekatan perjalanan ke luar negara, saya hanya menumpukan perhatian kepada kerjaya seni di tanah air dan melupakan seketika tawaran di Indonesia.

“Kini apabila semuanya kembali pulih, saya kembali didatangi tawaran-tawaran untuk buat pengacaraan di sana. Insya-ALLAH jika ada yang bersesuaian dan semua perancangan berjalan lancar, saya akan kembali bersama mereka,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu lagi.

Ramadan, Syawal bertiga

Pun begitu, isteri kepada penyanyi Raja Syahiran itu berkata, sekiranya kembali aktif dengan kerjaya pengacaraan di Indonesia, beliau tidak mahu berjauhan dengan cahaya mata tunggalnya, Raja Urhan yang kini berusia enam bulan.

Justeru wanita yang cukup dikenali dengan kepetahannya dalam berbicara ini merancang untuk membawa anaknya bersama.

“Sekiranya saya kembali aktif menerima tawaran di Indonesia, saya akan bawa anak bersama kerana tidak mahu berjauhan dengannya. Saya dan suami banyak berbincang mengenai perkara ini dan dia sangat memahami.

“Bagaimanapun jika ada situasi yang tidak membenarkan perkara ini, saya tidak kisah untuk menolak tawaran tersebut. Mungkin ada perkara lain yang boleh saya lakukan jika tidak ke sana. Apa yang pasti, jika ke sana saya akan bawa anak sekali,” tegasnya.

Iklan
Uyaina bersama Datin Farah Haryani, Belal Dally dan Lisa Surihani pada acara pertunjukan fesyen Ariani Layar Raya 2023.

Uyaina berkata demikian ketika ditemui apda majlis pertunjukan fesyen Layar Raya Ariani 2023 yang turut menyaksikan beliau sebagai salah seorang daripada duta tudung jenama terbabit, selain Bella Dally dan Datin Lisa Surihani.

Memasuki tahun kedua menggalas tanggungjawab tersebut, bintang drama Perempuan Tanpa Dosa itu meluahkan rasa syukur apabila terus mendapat kepercayaan jenama terbabit biarpun kini sudah berstatus sebagai ibu.

“Alhamdulillah rezeki saya masih bersama mereka. Namun berbeza dengan tahun lalu, kali ini saya sudah berstatus sebagai ibu dan tentunya teruja menggayakan koleksi terbabit buat pertama kali bertiga bersama suami dan anak,” katanya.

Berkongsi persediaan menyambut Ramadan, Uyaina mengakui teruja menanti ketibaan bulan mulia yang disifatkan cukup istimewa buatnya kali ini.

Iklan

“Tahun ini adalah kali pertama saya menyambut Ramadan dan Syawal sebagai sebagai seorang ibu, jadi perasaannya sangat berbeza.

“Malah saya sebenarnya turut menolak beberapa tawaran kerja dari Indonesia yang memerlukan saya ke sana pada bulan Ramadan nanti kerana mahu mengabadikan momen istimewa bersama keluarga kecil saya,” katanya.

(FOTO: Ariani dan Instagram Uyaina Arshad)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.