FILEM Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang baru melabuhkan tirainya di Encore Melaka pada Jumaat.

Kejayaan itu melayakkan filem arahan Datuk Zahim Albakri itu membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 dan trofi.

Kemenangan Spilt Gravy sekali gus menundukkan empat lagi finalis dalam kategori sama iaitu Small Town Heroes, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Juang dan karya filem paling laris tanah air, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang sebelum ini memungut kutipan pawagam hampir RM100 juta.

Naskhah yang diadaptasi dari drama pentas berjudul sama karya Allahyarham Jit Murad itu turut memenangi tujuh trofi bagi kategori Pengarah Harapan Terbaik (Zahim), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Juliana Ibrahim), Penyunting Terbaik (Isazaly Isa, A. Samad Hassan) dan Lakon Layar Terbaik (Jit Murat/ Zahim).

Tidak ketinggalan trofi Penyunting Terbaik (Isazaly Isa, A. Samad Hassan), Rekaan Busana Terbaik (Rosasa Abd Hamid) dan Penataan Seni Terbaik (Raja Malek, Wong Taysy).

Terdahulu, Filem Spilt Gravy mendominasi 14 daripada 22 pencalonan dipertandingkan di FFM32.

Sementara itu, filem yang memberi sengit kepada Split Gravy iaitu Small Town Heroes turut membawa pulang lapan trofi iaitu Pengarah Terbaik dan Cerita Asal Terbaik (Ryon Lee Eng Keong), Sinematografi Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Phua Chandler) dan Pelakon Wanita Harapan (Layla Sania Khairuzikri).

Selain itu, filem berkenaan membawa pulang trofi Penataan Seni Terbaik (Raja Malek dan Wong Taysy), Poster Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik (Tan Yen Hue, Tan Shie Hwa dan David Ngan Teck Wai).

Bagaimanapun, filem Mat Kilau tidak pulang dengan tangan kosong apabila dua pelakonnya iaitu Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem, manakala syarikat produksinya, Kembara Studio Sdn Bhd turut membawa pulang anugerah Filem Box Office dan Anugerah Khas Juri.

Iklan

Trofi Pelakon Wanita Terbaik pula dimenangi Tan Chui Mui yang cemerlang dalam filem Barbarian Invasion.

Selain itu Anugerah Khas Seniwati Sepanjang Zaman diberikan kepada Sarimah Ahmad manakala Anugerah Khas Seniman menjadi milik Mat Sentul.

Iklan

FFM32 menampilkan pengacara hebat Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim. Acara itu dihadiri Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Md Nasir Ibrahim; dan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan Londoh dan Hazama.

Berikut ini senarai pemenang malam kemuncak FFM 31:

  1. Anugerah Khas Filem Box Office – Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
  2. Poster Terbaik – Small Town Heroes
  3. Kesan Khas Visual Terbaik – Air Force The Movie: Selagi Bernyawa
  4. Filem Pendek Terbaik – Can You Love Me Most?
  5. Tatarias Terbaik – Malya Artwork (Rasuk)
  6. Rekaan Busana Terbaik – Rosada Abdul Hamid (Spilt Gravy)
  7. Penataan Seni Terbaik – Raja Malek & Wong Taysy (Spilt Gravy)
  8. Penataan Bunyi Terbaik – Charlene Ong & Chye Leng (Air Force The Movie Selagi Bernyawa)
  9. Skor Muzik Asal Terbaik – Tan Yen Hue, Tan Shin Hwa & David Ngam Teck Wai (Small Town Heroes)
  10. Lagu Tema Terbaik – Wira Hatiku: Lim Yee Chung (Juang)
  11. Sinematografi Terbaik – Steven Chua Jyh Shyan (Small Town Heroes)
  12. Penyunting Terbaik – Isazaly Isa & A Samad Hassan (Spilt Gravy)
  13. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik – Phua Chandler (Small Town Heroes)
  14. Pelakon Wanita Harapan – Layla Sania Khairuzikri (Small Town Heroes)
  15. Pelakon Lelaki Harapan – Jaa Suzuran (Autumn In Wales)
  16. Pengarah Harapan – Datuk Zahim Albakri (Spilt Gravy)
  17. Anugerah Khas Juri 1 – Asia Tropical Films Sdn Bhd (Juang)
  18. Anugerah Khas Juri 2 – Studio Kembara Sdn Bhd (Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan)
  19. Anugerah Khas Juri 3 – Multimedia Film Productions Sdn Bhd (Air Force The Movie: Selagi Bernyawa)
  20. Anugerah Khas Juri Filem Antarabangsa – Ranah 3 Warna
  21. Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir – Akma Suriati Awang
  22. Anugerah Khas Seniwati Sepanjang Zaman – Seniwati Datuk Sarimah Ahmad
  23. Anugerah Khas Seniman Sepanjang Zaman – Seniman Mat Sentol
  24. Cerita Asal Terbaik – Ryon Lee Eng Keong (Small Town Heroes)
  25. Lakon Layar Terbaik – Jit Murad, Datuk Zahim Albakri & June Tan (Spilt Gravy)
  26. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Juliana Ibrahim (Spilt Gravy)
  27. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Beto Kusyairy (Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan)
  28. Pelakon Wanita Terbaik – Tan Chui Mui (Barbarian Invansion)
  29. Pelakon Lelaki Terbaik – Datuk Adi Putra (Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan)
  30. Pengarah Terbaik – Ryon Lee Eng Keong (Small Town Heroes)
  31. Filem Terbaik – ZSA Productions Sdn Bhd / Nuansa Sdn Bhd (Spilt Gravy)