“Terimalah saya seadanya.." - Namie

A
A
A

TIDAK mahu menimbulkan salah faham dan kekeliruan pada masa akan datang, personaliti media sosial yang juga merupakan juara Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3), Namie mendedahkan dia kini sudah meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai guru pada Mac lalu.

Menurut Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin, 26, tindakan tersebut dilakukan bukan disebabkan penyertaannya di MLS3 bersama kumpulan Ubi, sebaliknya demi mengejar impiannya untuk bergelar anak seni.

“Saya minta maaf kerana menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan umum sebelum ini. Saya sebenarnya sudah lama berhenti sebagai seorang guru kerana mahu kejar cita-cita bekerja dalam industri seni.

“Saya tolak tepi tohmahan orang mengatakan saya tidak sayang pencen, tidak sayang itu dan ini. Apa yang pasti, saya berhenti bukan kerana penyertaan dalam MLS3, tetapi keputusan itu dibuat sejak bulan Mac lagi.

“Bagaimanapun saya tidak mendedahkan perkara ini sepanjang MLS3 kerana tidak mahu ia mengganggu mental dan privasi demi kebaikan diri saya sendiri, keluarga dan ibu bapa,” ujarnya kepada SinarPlus.

Aksi Namie bersama kumpuloan Ubi ketika final Muzikal Lawak Superstar baru-baru ini.

Tambah Namie, perjalanan kerjayanya sudah tertulis begitu dan proses menamatkan perkhidmatan sebagai seorang guru juga dipermudahkan.

Percaya kepada rezeki, bintang kelahiran Negeri Sembilan ini tidak pernah menyesal membuat keputusan tersebut, sebaliknya sentiasa positif dalam merencana kerjaya baharunya dalam bidang seni selepas ini.

“Sebenarnya ketika mahu berhenti, ada dua pegawai daripada Kementerian Pendidikan datang berjumpa dan bertanya tentang perkara tersebut secara peribadi kepada saya.

“Saya kongsi pendapat saya dengan berkata, kalaulah satu hari nanti saya mencemarkan imej dan profesionalisme bidang perguruan, adakah mereka suka pada waktu itu? Jadi mereka faham dan hormati keputusan saya.

“Ketika saya masih bergelar seorang guru sebelum ini, saya sudah aktif dalam media sosial. Walaupun konten saya bukan negatif, tetapi ada kalanya saya bawa perwatakan wanita atau buat watak yang bodoh-bodoh sikit. Jadi saya tidak mahu ia mencalarkan imej sebagai guru,” tegas bapa kepada kepada seorang anak itu lagi.

Impian sejak kecil

Dalam pada itu, bekas guru muzik tersebut mengakui sejak kecil lagi dia sudah menyimpan impian untuk menceburi bidang seni.

“Sejak kecil lagi saya mahu masuk dan bekerja dalam bidang seni. Bukan impian yang main-main, tetapi ia sampai tahap apabila saya melihat seseorang dalam TV, saya bercakap pada diri sendiri, mahu jadi macam dia.

“Saya sangat bersyukur apabila berpeluang kongsi rezeki bersama kumpulan Ubi bergelar juara MLS3 biarpun baru pertama kali menyertai program ini.

“Terimalah saya seadanya, terimalah saya dalam industri,” katanya yang bersyukur mendapat sokonbgan penuh daripada isteri dan kekuarga.

(FOTO: AZRUL RAFIE - ASTRO)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca