PERJALANAN setiap individu tidak sentiasa manis dan pasti akan melalui pelbagai onak dan duri sebelum mencapai kejayaan yang gemilang.

Begitulah mesej yang cuba disampaikan dalam single terbaharu penyanyi hip hop terkenal, Kmy Kmo dalam lagu 21A.

Lebih mengujakan, single hasil tulisannya itu turut berjaya memasuki tiga playlist di platform digital Spotify iaitu Border Beats, Made in Malaysia dan Pop Terkini dalam tempoh sehari selepas dilancarkan.

Pencapaian itu tentunya memberi sedikit kelegaan kepada pemilik nama sebenar Lukmanul Hakim apabila single solo yang mengisahkan perjalanan peribadinya mendapat tempat di hati pendengar tanah air.

Bercerita mengenai lagu 21A, Kmy memberitahu lagu yang dihasilkan itu adalah luahan ikhlas dirinya dalam menceritakan kepayahan yang terpaksa dilalui untuk menempa nama dalam pasaran muzik hip hop sebelum ini.

“Sebagai anak jati Kuantan yang begitu meminati muzik hip hop, saya akui perjalanan yang saya tempoh sebelum ini adalah satu proses yang panjang dan tidak mudah untuk saya lalui.

“Jika dulu saya perlu yakinkan bakat kecil yang saya miliki ini untuk menambat hati pendengar di Malaysia selain cabaran untuk menembusi pasaran mainstream.

“Bagaimanapun segala pengalaman yang saya lalui akan menjadi satu cerita dan kenangan indah, selain menjadi pengajaran terbaik untuk saya terus bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang ini,” katanya.

Kmy Kmo

Tambah Kmy, sepanjang penulisan lagu ini dia tidak berdepan sebarang kesukaran kerana lagu dan liriknya bersifat santai serta luahan hati peribadinya.

“Tiada tekanan untuk hasilkan lagu ini berbanding lagu-lagu yang pernah saya hasilkan sebelum ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Kmy menggalakkan lebih ramai bakat muda untuk lebih berani mengetengahkan lagu ciptaan mereka pada masa akan datang.

Iklan

“Saya sedar masih ramai bakat-bakat muda kurang keyakinan untuk memperkenalkan bakat mereka kerana takut dengan tanggapan negatif yang mereka dengar.

“Ada yang bimbang jika kehadiran mereka dalam pasaran mainstream akan ditindas, diketawakan atau dipergunakan, sedangkan mereka perlu berani dan yakin dengan sesuatu produk yang ingin ditampilkan,” tuturnya.

Demo

Ditanya mengenai kewujudan single 21A di YouTube pada tahun 2016, Kmy berkata, ia hanyalah lagu demo pada ketika itu.

“Sebenarnya pada 2016, saya pernah rakamkan lagu ini bersama seorang sahabat dikenali Fareed. Kemudian rakaman kedua dibuat dengan versi baharu bersama Luca Sickta sekitar 2022.

Iklan

“Tujuan saya merakamkan semula lagu ini kerana saya mempunyai perancangan dan strategi yang berbeza. Saya seorang yang suka mendengar maklum balas jujur dan ikhlas daripada pendengar.

“Melihat respons positif daripada peminat untuk lagu 21A ini, saya pun nekad merakam semula lagu ini dengan versi baharu dan lebih tersusun,” katanya yang berharap lagu 21A dapat diterima dengan baik oleh pendengar tanah air.

21A boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music.