PANDEMIK Covid-19 yang sudah lebih setahun melanda dunia telah menjentik semangat penyanyi, pelakon dan usahawan, Tya Arifin berkongsi hal-hal positif dalam program bual bicara terbaharunya, Bersama Tya.

Program dalam talian yang bersiaran secara langsung pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu, jam 10 malam di Instagram Live itu sudah menemui pelayar sejak 14 Jun lalu.

Bukan tamak mahu melakukan semua cabang kerja, namun ibu kepada Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa yang turut bertindak sebagai pengacara dalam rancangan tersebut, mahu melakukan sesuatu yang memberi kemaslahatan kepada semua.

Ujar Tya kepada SinarPlus, era pandemik telah membuatkan beliau terbiasa dengan norma baharu bekerja dari rumah.

“Justeru, saya terfikir kenapa tidak saya manfaatkan platform media sosial seperti Instagram atau YouTube sebaiknya? Maka, terhasillah idea mewujudkan program Bersama Tya,” katanya yang sebelum ini berpengalaman menjadi penyampai radio di negara kelahirannya, Palembang, Indonesia.

Suri hari kepada Asyraf Khalid itu berkata, beliau banyak melakukan semua kerja secara sendirian.

Pada peringkat awal, segalanya dari segi set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya dilakukan oleh pasukan yang dilantik beliau.

“Namun, selepas itu, semua perkara saya uruskan sendiri, termasuklah menata rias diri dan menentukan pakaian yang mahu dipakai. Bahkan tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang. Saya sudah terbiasa buat live di Instagram, jadi saya sudah tidak canggung lagi.

“Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Jam 9 malam anak-anak sudah tidur. Jadi masa live saya tak diganggu. Pembantu rumah pula hanya bantu tekan butang (live) di telefon bimbit saja,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan jus kesihatan, Mutyara.

Ujar Tya dengan nada semangat, setakat ini, lebih 30 episod sudah ke udara. Ia turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube, Tya Arifin dan suapan di laman Instagramnya.

Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti di Malaysia, Tya atau nama penuhnya, Nurtria Wulandari Arifin turut mengajak selebriti dari Indonesia.

Antara yang pernah menjadi tetamunya ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tengku Zawiyah, Nina Ismail Sabri dan Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad.

“Saya fikir ketika pandemik ini ramai yang bergelut dengan kehidupan masing-masing dan terlalu banyak hal negatif yang dilayangkan di media sosial. Setidak-tidaknya perkongsian inspirasi daripada tetamu jemputan dalam program ini boleh menyebarkan aura yang baik dan positif.

Iklan

“Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita, malah ada yang bersifat semasa dan terkini. Saya juga tak bataskan hanya tetamu jemputan dalam kalangan wanita saja, tetamu lelaki pun ada,” katanya yang meminati pengacara terkemuka antarabangsa, Ellen DeGeneres dan Najwa Shihab.

Dalam pada itu, Tya, 27, menaruh harapan agar dapat mengundang wanita berpengaruh seperti Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan pada suatu hari nanti.

“Alangkah bertuahnya saya kalau Tun Dr Siti Hasmah dapat bersama-sama dalam program ini. Saya juga berhasrat mahu mempelawa figura wanita dari Indonesia, selain tokoh pemimpin dan pakar motivasi lain selepas ini,” katanya.

Rindukan keluarga

Selain sibuk menguruskan keluarga, Tya juga mengendalikan perniagaan berasaskan jus kesihatan, Mutyara.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan keluarganya yang berada jauh di seberang lautan, Tya berkata, disebabkan pandemik, beliau sudah dua tahun tidak bersua.

Iklan

“Bab rindu ini sebenarnya bagai sudah kering air mata. Kerinduan itu terlalu berat, tetapi apakan daya, kita tak berupaya melawan ujian pandemik ini.

“Nak rentas negara, bukan perkara mudah. Mujur sekarang ada kecanggihan teknologi, dapat juga berhubung menerusi panggilan video.

“Saya dan keluarga reda dengan ujian ini kerana bukan kami sahaja yang melaluinya.

“Namun, saya bersyukur, keluarga di sana sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.