NAMA Steven Spielberg sememangnya cukup dikenali ramai menerusi naskhah-naskhah hebat yang pernah dihasilkan sejak mula berada di kerusi pengarah sehingga hari ini.

Kehebatan itu turut terlihat dalam buah tangan terbaharunya, The Fabelmans yang kini ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 9 Februari.

Berbeza dengan filem garapannya sebelum ini, The Fabelmans yang bergenre ‘coming of age’ drama itu adalah karya yang cukup personal buat pengarah itu apabila ia diinspirasikan daripada kisah keluarga sendiri termasuk kehidupannya ketika zaman kanak-kanak yang sangat meminati dunia perfileman.

Filem mengambil latar masa era 1960-an itu menceritakan tentang Sammy Fabelman yang mula jatuh cinta kepada filem selepas menonton di pawagam bersama ibu dan bapanya. Bermula dengan rasa ingin tahu, Sammy kemudiannya menghasilkan ceritanya sendiri dengan menggunakan kamera dan cara penyuntingannya sendiri.

Antara babak menarik dan emosi dalam The Fabelmans.

Namun pada ketika kecintaannya terhadap filem semakin menebal, Sammy mula menyedari wujudnya masalah dalam keluarga bahagianya.

Bapa Sammy, seorang yang genius dalam bidang teknologi terlihat sempurna sebagai suami kepada ibunya, wanita yang lebih santai dan berjiwa seni, rupa-rupanya tidak pernah serasi biarpun nampak bahagia pada luarannya.

Mesej

Karya ini digarap dengan cukup teliti oleh Spielberg, bukan sahaja mengenai indahnya seni penghasilan filem tetapi juga mengenai hubungan kekeluargaan disampaikan dengan sangat berkesan.

The Fabelmans menyampaikan cerita dan mesej sangat luas melangkaui status dan lapisan umur. Malah konflik yang ditampikan juga begitu dekat dengan ramai orang, melibatkan cita-cita dan realiti kehidupan.

Penonton diajak mengikuti kehangatan hubungan dalam keluarga Sammy dan perlahan-lahan ditarik untuk merasai konflik yang membelenggu mereka. Filem ini sukar untuk dijangka mengenai perjalanannya dan tidak hanya mengenai Sammy yang cintakan pembikinan filem semata-mata.

Gandingan mantap Michelle Williams dan Paul Dano memberikan curi perhatian penonton.

Naskhah ini juga memperlihatkan bagaimana seorang yang menghasilkan filem, secara tidak langsung akan menunjukkan emosi mereka melalui karya yang dihasilkan.

Plot penceritaannya begitu menarik dan disokong kuat dengan persembahan hebat daripada barisan pelakon yang berjaya membawa ‘drama’ sendiri dalam karakter mereka. Pujian untuk Michelle Williams sebagai Mitzi Fabelmans yang ternyata berjaya memberi jiwa dan impak yang cukup besar dalam penceritaan filem ini.

Iklan

Begitu juga dengan Gabriel LaBelle dan Paul Dino yang memberi warna menarik untuk karakter dijayakan.

Secara keseluruhannya, The Fabelmans adalah sebuah filem penuh rasa dan berbaloi untuk ditonton seisi keluarga.

The Fabelmans
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Drama
Durasi: 2 jam 30 minit
Pengarah: Steven Spielberg
Pelakon: Michelle Williams, Seth Rogen, Paul Dano, Gabriel LaBelle
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 9 Februari 2023

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.