Tiada Kata Secantik Bahasa daripada Hijjaz, Pasya, Kmy Kmo dan Luca Sickta

Hijjaz - Kmy Kmo & Luca Sickta - Pasya
Hijjaz - Kmy Kmo & Luca Sickta - Pasya
A
A
A

BUKAN sekadar untuk berhibur, muzik juga merupakan salah satu medium terbaik untuk berkongsi pelbagai mesej positif dan dakwah.

Mengisi peranan itu, sebuah lagu lama yang pernah dipopularkan oleh seniman agung agung tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Tiada Kata Secantik Bahasa telah diberikan nafas baharu untuk menyampaikan pesanan positif tentang baginda Nabi Muhammad SAW.

Versi baharu yang memuji kemuliaan Rasulullah SAW itu dinyanyikan semula oleh kumpulan nasyid popular Hijjaz, bersama bintang Mentor musim ketujuh, Pasya serta duo hip hop Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Jika versi asal lagu tersebut digubah oleh P. Ramlee dengan lirik tulisan Jamil Sulong, untuk versi baharu pula liriknya merupakan hasil nukilan daripada ahli kumpulan Hijjaz sendiri, Isman Nadim bersama-sama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Menurut Isman, idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus sejak dua tahun lalu ketika berada di Madinah.

“Dalam proses pembincangan lagu TKSB2020, idea datang sejak dua tahun lalu.

“Ketika itu Hijjaz berada di Madinah membuat umrah dan terdetik di hati kami, kalau lagu ciptaan serta nyanyian P.Ramlee itu diubah kepada selawat Nabi SAW dengan kombinasi tiga genre iaitu Rock, Nasyid dan Hip Hop, adakah peminat dapat menerimanya?

“Alhamdulillah apabila pihak Universal Music berjumpa dan berbincang dengan kami, cadangan ini dapat dikemaskan dengan idea-idea yang memberangsangkan.

“Malah daripada pihak MonkeyBone juga, idea ini diterima baik oleh artis terlibat dan memberi kerjasama yang amat positif,” kata Isman.

Sementara itu, Luca Sickta pula mengharapkan agar peminat boleh menerima kelainan yang dibawa menerusi lagu tersebut.

“Muzik adalah universal. Tiada yang mustahil kalau kita mencuba sesuatu kelainan.

“Asalkan mesej yang hendak diketengahkan sampai ke hati mereka yang mendengar,” ujarnya.

Idea penghasilan TKSB2020 dirancang bersama oleh Isman dan Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia itu sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 25 Oktober lalu.

Sementara video muzik rasminya pula boleh dilayari di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca