SELEBRITI TikTok dan penyanyi, Bael0n mungkin masih terlalu muda untuk mengenali lagu Rindu nyanyian Ratu Dangdut Malaysia, Amelina, namun hakikatnya lagu itu tidak asing buatnya.

Bahkan lagu tersebut juga masih relevan sehingga kini dan menyakin Bael0n untuk memberi nafas baharu dengan versi tersendiri yang lebih hangat.

Menurut Bael0n, dia sangat yakin pertaruhan itu cukup tepat untuknya memberi angin baharu kepada pendengar menerusi gabungan dangdut dan rap.

“Lagu Rindu oleh Amelina adalah lagu yang malar segar dan saya mendengarnya di TV sejak kecil lagi. Saya rasa jikalau lagu ini diberi nafas baharu pastinya mampu memberikan impak dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Menariknya, Bael0n memutuskan untuk tidak mengubah drastik melodi asal dangdut dalam ‘Rindu’. Cumanya, dia membuat keputusan berani untuk menonjolkan kemampuan menyanyi rap serta menulis sendiri liriknya.

Semakin jatuh cinta terhadap genre muzik itu, Bael0n sentiasa memperbaiki penulisan serta kemahiran rapnya dari semasa ke semasa. Paling penting, semestinya mempraktikkan ia dalam setiap lagu nyanyiannya.

“Sejujurnya saya bukan nak menjadi ‘rapper segera’, tapi saya ingin belajar menjadi seorang penghibur yang mampu membawakan pelbagai genre. Dalam pada masa yang sama, saya juga masih belajar untuk menulis lirik.

“Untuk lagu Rindu ini, lirik sepenuhnya daripada saya dan menulisnya dengan menggunakan perkataan yang mesra kita dengar. Insya-ALLAH, saya akan terus memperbaiki penulisan lirik saya pada masa yang akan datang,” katanya. Interpretasi situasi semasa

Apapun, Bael0n tidak hanya mahu menjadikan lagu ini sekadar hiburan semata-mata. Besar impiannya agar pendengar akan dapat merasa getar lagu ini dan dijadikan pengubat rindu terhadap perasaan mereka.

“Secara peribadi, lagu Rindu ini boleh dikait rapat dengan situasi yang berlaku sekarang. Seperti yang kita semua tahu, kita sedang mengalami pandemik yang mana kita diwajibkan untuk duduk di rumah.

“Semestinya, perasaan rindu keluar rumah, rindu jalani kehidupan normal, rindu jumpa kawan-kawan dan keluarga, atau lepak mamak tanpa memerlukan pelitup muka semakin membuakbuak.

Iklan

“Oleh demikian, lagu Rindu ini boleh digunakan sebagai sebuah ungkapan rindu buat orang tersayang atau pasangan bercinta jarak jauh,” katanya.

Meskipun memiliki lebih 50,000 pengikut di Tik Tok dan pernah ditampilkan dalam kempen It Starts on Tik Tok, Bael0n bagaimanapun tidak pernah menganggap dirinya selebriti Tik Tok.

Baginya, dia cuma mahu berkongsi rasa cinta mendalam dalam bidang tarian, cipta koreografi, serta nyanyian.

Iklan

“Saya cuma pengguna Tik Tok yang suka berkarya dan cuba benda baharu untuk kekal relevan serta diterima masyarakat. Saya berharap orang dapat menerima karya-karya akan datang dengan baik. Saya berazam mahu terus hiburkan masyarakat kala mereka tengah bosan dan sedih. Saya nak orang gembira, cukup,” katanya.

Sekitar awal tahun ini, Bael0n sudah tampil dengan lagu ‘Cek Mek Molek’, juga nafas baharu buat lagu nyanyian asal Datuk M Daud Kilau.

Rindu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.