MUDARRISAH Soufizah, mentor Akademi Qurra’ TV AlHijrah meluahkan rasa kecewa apabila pihak produksi memutuskan Tilmiz dan Tilmizah di bawah bimbingannya sejak episod pertama dirombak semula.

Rombakan tersebut melibatkan pertukaran Tilmiz Saifullah, Tilmiz Akasyah, Tilmizah Maghfirah dan Tilmizah Dr. Nooraini yang diganti dengan Tilmiz Fahmi, Tilmizah Shafiyah dan Tilmizah Nazhirah.

Mudarrisah Soufizah mengakui kecewa dan sedih dengan pengumuman yang dibuat oleh Fakhrul UNIC selaku hos rancangan tersebut kerana sudah menyusun perancangan terbaik untuk mereka.

Mudarrisah Soufizah (kanan) terima rombakan yang dibuat pihak produksi sebagai satu cabaran.

“Saya sudah melatih kumpulan saya dengan sebaiknya sepanjang rancangan ini disiarkan. Bukan itu sahaja, pelbagai perancangan sudah saya susun untuk menggilap lagi bakat mereka dengan input ilmu lebih berkesan.

“Rombakan ini memaksa saya untuk bermula dari awal semula. Saya harus kenal pasti kelemahan dan kekuatan Tilmiz Fahmi, Tilmizah Shafiyah dan Tilmizah Nazhirah. Pastinya, ia akan mengambil masa untuk saya bentuk dan pastikan anak didik baharu mencapai tahap dan karektor yang saya mahukan untuk bergelar juara.

“Apa pun, saya terima keputusan pihak produksi dan anggap ini sebagai cabaran buat saya untuk minggu-minggu seterusnya,” ujarnya yang mengharapkan agar bekas Tilmiz dan Tilmizah didikannya itu meneruskan usaha berguru serta membaca al-Quran untuk diri sendiri dan kerana Allah.

Keputusan tersebut dilakukan pada siaran episod keempat Akademi Qurra’ yang berlangsung Sabtu lalu, selain menyaksikan seorang lagi peserta lelaki iaitu Tilmiz Afif tersingkir keluar.

Tlmiz dan Tilmizah yang sudha memberikan persembahan terbaik mereka pada minggu keempat program Akademi Qurra’.

Pada episod tersebut, Tilmiz Afif yang diuji dengan Tarannum Sikah dan Tarannum Soba gagal menambat hati barisan juri yang terdiri daripada Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Hj. Azraie Abdul Hak dan Muhammad Qayyim Nizar Sarimi apabila hanya mendapat 83 peratus (%) markah secara keseluruhan.

Akur keputusan juri

Mengulas tentang penyingkiran tersebut, Tilmiz Afif mengakui berdepan cabaran sukar pada minggu ini dan akur dengan keputusan juri.

“Saya akui bacaan tarannum saya pada episod keempat ini ada ‘terbang’ di sana sini kerana ‘lagu’ yang saya terima agak sukar. Jujurnya pada minggu ini, bukan sahaja saya tetapi bacaan hampir kesemua tilmiz dan tilmizah merosot.

“Namun, saya akur dengan keputusan juri. Saya yakin, apa yang diputuskan juri itu adalah apa yang datang daripada Allah.

Iklan

“Pesanan saya kepada rakan tilmiz dan tilmizah yang lain agar sentiasa membetulkan niat. Apa yang sedang kita lakukan ini adalah dakwah kepada mereka di luar sana agar semua tertarik dengan mukjizat al-Quran ini,” katanya.

Tilmizah Nooraini diumumkan sebagai penerima Anugerah Alunan Terindah.

Sementara itu, Tilmizah Nooraini yang berada di kedudukan kedua tercorot pada minggu ketiga bangkit dengan semangat baharu apabila berjaya berada di kedudukan pertama minggu ini dengan mendapat 96 (%) markah sekaligus diumumkan sebagai penerima Anugerah Alunan Terindah.

Sembilan peserta lain yang meneruskan perjuangan pada minggu hadapan dengan mengangkat tema Barisan Hadapan ialah Tilmizah Nooraini, Tilmiz Zuhdi, Tilmizah Maghfirah, Tilmiza Faridzuan, Tilmizah Shafiyah, Tilmiz Saifullah, Tilmiz Akasyah, Tilmiz Fahmi dan Tilmizah Nazhirah.

Iklan

Akademi Qurra’ bersiaran secara langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam hingga 11.30 malam manakala siaran ulangan boleh ditonton pada setiap Ahad, jam 3 petang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.