KUMPULAN Caliph Buskers meluahkan rasa kesal terhadap pihak pihak penganjur sebuah acara melibatkan persembahan mereka di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Disember lalu yang tidak melunaskan bayaran seperti dijanjikan.

Menurut kumpulan yang dianggotai oleh Azmi Saat, Fendy, Zaki Ismail dan Nirwan Zainalabidin itu, pendedahan tersebut dilakukan kerana mereka amat memerlukan wang berkenaan untuk keperluan dan perbelanjaan harian.

“Kepada pihak penganjur yang berkenaan, tujuan kami membuat perkongsian ini adalah untuk memberitahu kalian yang kami ahli kumpulan Caliph Buskers berserta krew sangat memerlukan wang yang telah dijanjikan kepada kami daripada kerja yang sudahpun kami laksanakan.

“Setelah tolak ansur yang kami berikan termasuklah tidak memaksakan deposit yang sepatutnya kami ambil sebelum persembahan, kami juga memohon sangat-sangat tolak ansur kalian agar dapat membayar paling tidak separuh dahulu kepada kami,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Instagram rasmi mereka.

Tolak Tawaran

Jelas Caliph Buskers lagi, mereka juga telah menolak beberapa tawaran persembahan lain semata-mata untuk memenuhi undangan pihak terbabit.

“Ada antara kami yang datang ke tempat kalian tanpa membawa satu sen pun kerana mengenangkan janji kalian untuk membayar kami setelah selesai membuat persembahan.

“Kami telah mengeluarkan kos untuk membayar minyak, tol dan gaji krew kami.
Kami juga telah meluangkan masa, tenaga dan meninggalkan ahli keluarga kerana tempat persembahan yang jauh dengan harapan dapat membawa duit belanja untuk anak dan isteri kami.

“Setelah itu semua kami lakukan, takkanlah satu sen pun kami tak dapat terima daripada kalian,” luahnya kecewa.

Iklan

Dalam perkongsian sama, kumpulan yang popular dengan lagu Manusia itu merayu agar penganjur terbabit dapat membuat pembayaran biarpun tidak sepenuhnya.

“Tolonglah kami. Kalau tak mampu bayar penuh, bayar sedikit-sedikit pun jadilah. Ini satu sen pun tak ada.

“Mohon kalian kasihankan kami sebelum kasihan kami pada kalian hilang dan memaksa kami bertindak tidak seperti yang kalian inginkan,” katanya.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.