TV Alhijrah pertaruh lima program bernadakan al-Quran

A
A
A

STESEN televisyen berasaskan program Islamik, TV Alhijrah membuka tirai tahun baharu 2023 dengan program bernadakan kalam al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, lima program berkenaan adalah Quran@114, Akademi Qurra’, Assalamualaikum An-Nisa’, Kembara Mahsyar dan Qawiy Was Here.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris

“Sempena tahun baharu ini, TV Alhijrah mahu mengajak penonton untuk kembali kepada al-Quran. Kiranya permulaan yang baharu; fresh start.

“Ada antara program ini sudah pun memulakan siarannya sejak 1 Januari lalu seperti Quran@114 iaitu sebuah siri pembelajaran al-Quran berterusan setiap hari selama sejam.

“Perjuangan al-Quran ini besar dan umat Islam perlukan al-Quran setiap hari sebagai panduan hidup. Atas sebab itu, kita mulakan tahun baharu dengan program seperti ini,” ujarnya ketika sesi perkongsian program baharu dengan media pada Rabu.

[caption id="attachment_103868" align="alignnone" width="800"]Namanzee bersama barisan personaliti yang terlibat untuk program-program baharu di TV AlHijrah.[/caption]

Quran@114 disiarkan setiap hari pada jam 11 pagi dengan bimbingan pentadabbur seperti Imam Muda Hassan, Ustaz Dr Shamsul Mohd Noor, Profesor Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Ustazah Isfadiah Mohf Dusuki.

Turut terlibat qari dan qariah seperti Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Fahmi Asraf Razali, Ustazah Aisyah Baa’in dan Ustazah Nur Ruzana Natiah Jaafar.

Bual bicara pagi, Assalamualaikum An-Nisa’ pula diinspirasikan daripada ketokohan Saidatina Khadijah sebagai sarapan jiwa.

Program berkonsepkan halaqah yang membicarakan isu-isu kehidupan wanita disiarkan setiap hari, bermula jam 9 pagi dengan penampilan istimewa barisan figura hebat yang boleh dijadikan inspirasi kepada masyarakat.

Ia dikendalikan barisan penyampai seperti Amie Sofea, Ustazah Muzayyanah, Hana Ismail, Farrah Adeeba, Dewita Susila dan Farah Diana.

Tambah Namanzee, tiga lagi program yang diperkenalkan iaitu Akademi Qurra’, Qawiy Was Here dan Kembara Mahsyar akan menemui penonton sedikit masa lagi.

Akademi Qurra’ bermatlamat melahirkan Hamilul Quran iaitu pendukung al-Quran yang mempelajari kalamnya, memahami maknanya serta mengamalkannya akan menemui penonton bermula 28 Januari depan.

“Begitu juga dengan Kembara Mahsyar yang akan bersiaran pada 3 Februari, jam 10 malam, manakala Qawiy Was Here hanya ditayangkan di aplikasi Alhijrah Plus bermula 28 Januari, jam 6 petang,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca