TVS tampilkan Getaran Jiwa, bawa penonton imbau nostalgia karya agung P. Ramlee dan Saloma

GETARAN JIWA - TVS
GETARAN JIWA - TVS
A
A
A

SENTIASA menampilkan sajian terbaik buat penonton, TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak kini melancarkan program realiti hiburan baharu, Getaran Jiwa.

Program lapan episod yang mengetengahkan tema Irama Mengimbau Kenangan dan diinspirasikan daripada karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma itu bakal menemui penonton di saluran 122 di Astro dan MYTV, bermula 21 Oktober ini.

Menampilkan 40 peserta terbaik dari seluruh negara merangkumi pelbagai peringkat umur, Getaran Jiwa bakal menyaksikan calon pemenang bersaing hebat untuk merebut hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.

Persembahan peserta akan dinilai melalui sistem pemarkahan Jiwa Meter yang terbahagi kepada 70 peratus (%) oleh barisan juri profesional diketuai oleh Datuk Nash, manakala 30% oleh juri awam secara atas talian.

Program ini diserikan dengan barisan juri jemputan yang terdiri daripada Fauziah Latiff, Liza Hanim, Noraniza Idris, Ayai Ilusi dan Fauzi Marzuki. Sementara Rody Kristal pula bertindak selaku Pengarah Muzik.

Konsep dan format Getaran Jiwa yang terhasil daripada gabungan idea bersama TVS dan Morningstar Entertainment itu tampil dengan kelainan dan pendekatan lebih segar dalam usaha memberikan yang terbaik buat penonton.

Antaranya karya-karya malar segar seniman agung itu akan diberi susunan muzik baharu dan bersifat lebih kontemporari, selain kepelbagaian dan kreativiti persembahan daripada barisan peserta yang bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Rizal Zulkapli, berkata, Getaran Jiwa merupakan rancangan hiburan ketiga terbitan stesen TV tersebut untuk tahun 2022, selepas program TVS Live dan Pemerindang Borneo.

“Proses untuk membawakan Getaran Jiwa ke kaca TVS bukanlah hal yang mudah. Namun, dengan sokongan kerajaan negeri Sarawak, kegigihan tenaga kerja TVS dan creative team di Morningstar membolehkan kami menyiarkan program ini secara langsung dari Sarawak kepada penonton di seluruh negara tidak lama lagi,” katanya.

Program yang besiaran pada setiap Jumaat, jam 8.45 malam itu akan dihoskan oleh Jiggy Masin dan Sissy Iman, manakala Bolhanuddin dan Siti Zawawi pula mengendalikan kapsul Debaran Jiwa, pada jam 7.30 malam.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca