Ujian ajar Amyra Rosli erti reda, luah rasa syukur anak semakin pulih

A
A
A

TIADA apa yang lebih meruntunkan hati seorang ibu apabila melihat anak yang sihat, tiba-tiba menjadi lemah akibat jangkitan virus yang datang entah dari mana.

Begitulah yang dirasai oleh pelakon dan pengacara, Amyra Rosli apabila anak kesayangannya, Ayra Aryssa, 2, dijangkiti virus Kawasaki sehingga mengalami masalah jantung.

Lebih mengharukan apabila Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli tidak dapat sepenuhnya menjaga anak di hospital kerana terikat dengan komitmen kerja.

“Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan saya bila perlu bekerja dan dalam masa yang sama anak tidak sihat serta memerlukan saya di hospital.

“Bayangkan ada ketikanya doktor menghubungi, memaklumkan paras oksigen Aryssa menurun dan saya pula masih di set penggambaran. Kadangkala saya rasa badan sahaja di situ, tetapi hati dan fikiran saya melayang ke hospital.

“Saya pula rasa tidak adil untuk mengambil cuti dan mengganggu jadual pelakon dan kru lain. Amar juga ketika itu sibuk di set penggambaran.

“Mujur ada keluarga yang membantu manakala saya dan Amar bergilir-gilir menjaga Aryssa di hospital sebaik lepas bekerja,” katanya ketika ditemui lima hari sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Bagaimanapun ujar isteri kepada pelakon Amar Baharin, ujian itu mengajarnya menjadi lebih reda dan tenang.

“Tipulah kalau saya tak pernah terfikir kenapa bertubi-tubi dugaan yang datang pada saya. Tetapi saya reda seikhlas hati dengan apa yang terjadi.

“Alhamdulillah bila saya reda, ALLAH beri saya ketenangan untuk berdepan dengan semua ini. Kejadian ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa lain lebih peka dengan virus yang jarang didengari sebelum ini,” jelasnya.

AMYRA ROSLIAmyra meluahkan rasa syukur dengan keadaan Aryssa yang semakin pulih.

Berkongsi perkembangan terkini Aryssa, bintang utama Jangan Menangis Cinta itu meluahkan rasa syukur dengan keadaan puterinya yang semakin baik.

“Virus itu buatkan jantungnya berair dan saluran jantung bengkak. Saya perlu pantau jantung dia untuk tiga bulan dan Aryssa harus makan ubat cair darah setiap hari.

"Alhamdulillah Aryssa semakin baik. Cuma saya kesian melihat rambutnya gugur, perut jadi kembung. Tapi saya tak boleh melawan cakap doktor sebab mungkin dalaman anak saya akan menjadi semakin teruk.

“Mudah-mudahan selepas tiga bulan keadaannya semakin baik dan tidak perlu ambil buat lagi,” ujarnya.

Rehat seketika

Dalam pada itu, ditanya perkembangan karier seninya selepas ini, Amyra berkata, dia memilih untuk berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada anak-anak.

Bagaimanapun Amyra masih terikat dengan komitmen sebagai pengacara program Nona di TV3.

“Selepas segala ujian dan kesibukan, saya ambil keputusan untuk berehat seketika dan memberi tumpuan kepada anak-anak.

“Bila masa sesuai, Insya- ALLAH saya akan kembali,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca