SEJAK pada usia kanak-kanak, kecintaannya terhadap arena muzik terutama nyanyian tidak pernah padam.

Berusaha untuk mempamerkan bakat yang dimiliki, Aisha Retro mempertaruhkan nasib dengan menyertai pertandingan nyanyian Vokal Mania.

Syukur, nasib berpihak kepada pemilik nama Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam apabila dinobatkan sebagai juara pada pertandingan itu.

Sejak kemenangan tersebut, penyanyi berusia 22 tahun itu tidak lagi menoleh ke belakang.
Berusaha untuk mendominasi liga bintang baharu atau popular digelar Budak Baru Nak Up (BBNU), Aisha mahu memastikan kekuatan mental dan fizikalnya sentiasa berada pada tahap baik agar dapat membuat persembahan dengan cemerlang dan konsisten.

Bukan sekadar mengawasi kesihatan tubuh badan, penyanyi bersuara lunak itu berkata, dirinya turut menitikberatkan soal ketenteraman jiwa. Hal itu penting kerana jika tidak dipandang serius, ia dibimbangi boleh menggganggu kualiti nyanyian.

Kepada SinarPlus, pelajar tahun akhir Ijazah Ekonomi Universiti Malaya itu yang ditemui baru-baru ini berkongsi rutin dan teknik yang dipraktikkannya untuk sentiasa kekal cergas dan tampil segar sentiasa.

SINARPLUS (SP): Kekuatan fizikal dan mental boleh dikatakan penting buat seseorang penyanyi agar dapat kekal aktif di atas pentas. Bagaimanakah Aisha ingin memastikan kedua-dua elemen itu dijaga dengan baik?

AISHA RETNO: Secara peribadi saya berpendapat pengambilan makanan sihat, mendapatkan rehat yang cukup dan menjaga hubungan baik dengan individu di sekeliling sangat penting. Berfikiran positif juga satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana hal tersebut akan mempengaruhi emosi ketika membuat persembahan.

SP: Kulit berjerawat sering menjadi antara masalah yang kerap berlaku ketika seseorang meningkat dewasa. Bagaimanakah cara anda mengatasinya?

AISHA: Itu memang tidak dapat dinafikan. Bagi mengelakkan daripada perkara itu terjadi, saya mengamalkan rutin penjagaan wajah seperti biasa iaitu dengan memastikan kulit sentiasa dibersihkan selepas mengenakan solekan. Saya seboleh-bolehnya tidak akan menyentuh kulit muka dengan tangan. Jika masalah kulit berlaku, saya akan minum banyak air dan tidak mengambil pengambilan makanan berminyak. Itu tip saya.

SP: Beralih kepada aktiviti fizikal, apakah yang anda lakukan untuk mengekalkan stamina bentuk badan?

AISHA RETNO: Saya akan meluangkan masa sekitar 15 hingga 20 minit sehari dengan melakukan senaman tarian seperti zumba atau dance workout. Caranya sangat mudah iaitu menonton sahaja di YouTube dan ikut rentak. Saya memilih untuk melakukan senaman ini kerana berpendapat ia sesuatu yang menyeronokkan. Bagi mengekalkan stamina, saya akan meluangkan masa untuk berlari.

SP: Sebagai seorang penyanyi, bagaimanakah anda memastikan peti suara sentiasa berada dalam keadaan baik?

AISHA RETNO: Apabila menghampiri masa untuk membuat persembahan, saya tidak akan banyak bercakap dan memilih untuk mendiamkan diri. Perkara asas lain pastinya adalah banyak minum air putih termasuk mendapatkan rehat yang cukup. Dalam keadaan sekarang, penjagaan kesihatan amat penting kerana kita tidak tahu siapa akan menjadi mangsa Covid-19 seterusnya. Lagipun kerjaya saya juga melibatkan ramai orang, jadi penjagaan kesihatan itu sejujurnya amat penting.

Iklan

SP: Zaman sekarang, media sosial sering dijadikan sebagai medium untuk khalayak meluahkan pandangan masing-masing. Jika berdepan dengan reaksi negatif, bagaimana cara anda berdepan dengan hal tersebut?

AISHA RETNO: Selepas menyertai rancangan Vokal Mania dua tahun lalu, saya sudah belajar untuk menerima kecaman, teguran dan pujian daripada netizen. Sejak itu, saya telah faham dan reda agar jangan terlalu kecewa sekiranya ada yang tidak suka dengan diri kita. Lumrah sebagai manusia apabila bukan semua orang mampu menerima kita seadanya.

Jadi perkara itu saya tidak terlalu memikirkan sangat dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Sebolehnya saya ingin mengekalkan sikap positif agar tekanan emosi sehingga menyebabkan kemurungan dapat dijauhkan.

Jika rasa runsing, saya akan minta pandangan atau kongsikan dengan orang terdekat. Kalau boleh jangan terlalu memikirkannya kerana risau ia akan melarat. Dalam hal ini juga, sokongan keluarga dan kenalan amat diperlukan dan jagalah hubungan dengan mereka.

Iklan

SP: Bekerja sebagai penyanyi, namun pada masa sama, anda melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Ekonomi. Bagaimana mahu mengimbangkan masa, kesihatan, kerjaya dan pendidikan?

AISHA RETNO: Ya, kedua-dua bidang itu memang tiada kena mengena. Namun, ahli keluarga saya amat menitikberatkan soal pendidikan. Jadi, walaupun sibuk dengan tugas sebagai pelajar dan pada masa sama perlu membuat persembahan, saya tidak mengangap ia sebagai satu halangan. Biarpun kelihatan seperti tiada kaitan, namun saya percaya jika suatu hari nanti jika saya ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan, segalanya akan lebih mudah. Insya-ALLAH, saya boleh mengimbangi kedua-duanya.

 

Jangan lupa follow kami diInstagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kamiDI SINI