BIARPUN sudah semakin berusia dan berdepan dengan barisan bintang baharu silih berganti memeriahkan industri, karisma dan pengaruh pelakon veteran, Datuk Jalaluddin Hassan masih kekal dimiliki.

Tidak hairanlah pada usia yang kini menginjak 68 tahun, nama Jalaluddin dilihat masih mempunyai nilai tinggi apabila terus diberi kepercayaan bergelar duta pelbagai produk tempatan dan antarabangsa.

Aktor tersebut yang ditemui ketika majlis penyampaian hadiah Kempen Best Product Ke-26 baru-baru ini, berkata, keikhlasannya dalam bekerja dan melunaskan tanggungjawab diberi, mungkin menjadi antara sebab dia mendapat peluang sebegitu.

“Saya sendiri pun hairan dalam usia seperti ini, masih banyak pihak menaruh kepercayaan dan mahu melantik saya menjadi duta jenama mereka.

“Selain bergelar duta Best Product untuk tahun kelima, saya juga masih mewakili beberapa jenama lain termasuk tawaran baharu melibatkan sebuah jenama perabot mewah terkenal.

“Saya hanya buat kerja saya dengan sebaik-baiknya dan ikhlas melaksanakan tanggungjawab diberi. Alhamdulillah ada yang menyedari tentang perkara tersebut dan berminat untuk bekerjasama dengan saya kerana hal itu,” ujarnya yang dilantik oleh Home Direct Shopping sebagai duta Best Product sejak 2015.

Selain Jalaluddin, turut bergelar duta kepada Best Product ialah penyanyi Ramlah Ram dan Norman Hakim.

Jalaludin bersama Ramlah Ram dan Norman Hakim ketika meraikan para pemenang Kempen Best Products ke-26 baru-baru ini.

Mengulas tentang ‘nilai’ diletakkan orang ramai terhadap dirinya, selebriti yang cukup sinonim dengan program Who Wants to Be a Millionaire itu menyifatkan ia sebagai subjektif untuk dijelaskan.

“Saya tidak tahu bagaimana sesuatu nilai itu ditetapkan kepada orang dalam industri seperti saya. Cuma bagi saya, keikhlasan menjadi prinsip utama dalama apa sahaja yang dilakukan baik dalam pekerjaan, pergaulan mahupun kehidupan.

Iklan

“Saya seorang yang sangat menjaga hubungan dengan sesiapapun. Jika ada masalah, saya lebih suka berinteraksi secara positif, berbincang secara profesional dan mencari penyelesaian terbaik.

“Budi bahasa kena selalu jaga. Itu yang saya selalu pegang tidak kiralah dengan mereka yang sesama bangsa atau sebaliknya,” katanya.

Tidak syok sendiri

Sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni, selebriti versatil itu bagaimanapun mengakui tidak pernah meletakkan ‘titik’ tertentu dalam kerjaya yang amat diminatinya itu.

Iklan

“Selagi diizinkan ALLAH, selagi itu saya akan berada dalam industri kerana saya memang meminati kerjaya ini sejak dulu sehingga sekarang.

“Walaupun sudah lama berlakon, saya tetap rasa seperti orang baharu masih belajar dalam bidang ini. Bagi saya, sebagai pelakon kita jangan ada sikap syok sendiri. Jika kita rasa hebat, percayalah ada yang lebih hebat daripada kita.

“Saya sendiri setiap kali masuk ke set penggambaran baharu, saya sentiasa anggap ia seperti lakonan pertama saya. Secara tidak langsung kita jadi sentiasa merendah diri untuk mencari dan menambah ilmu,” katanya yang tampil menerusi drama terbaharu, Tiada Maaf Buatmu di Astro Ria.