BINTANG pop, Justin Bieber berkongsi berita duka buat peminat setia, lebih-lebih yang menantikan kehadirannya untuk Justice World Tour.

Bieber, 28, memaklumkan terpaksa membuat keputusan untuk berehat dari siri jelajah dunia yang masih berbaki di beberapa negara, termasuk di Malaysia.

“Awal tahun ini saya memberitahu mengenai sindrom Ramsay-Hunt yang sedang saya alami membuatkan separuh wajah saya lumpuh. Kerana masalah kesihatan ini, saya tidak berjaya menyelesaikan konsert jelajah Justice Tour saya di Amerika Utara.

“Selepas berehat dan berbincang dengan doktor, keluarga dan pasukan, saya terbang ke Eropah untuk menyambung konsert jelajah.

“Saya sempat membuat persembahan di enam lokasi. Begitu juga dengan hujung minggu yang lalu di Rock in Rio, saya buat semampunya untuk peminat di Brazil,” tulisnya menerusi hantaran terbaharu dalam Instagramnya pagi tadi.

Baca Juga : Justin Bieber lumpuh separuh muka diserang virus, berkelip sebelah mata

Bagaimanapun penyanyi Ghost itu menyedari keadaan dirinya belum pulih sepenuhnya dan disebabkan itu Bieber mengambil keputusan untuk menangguhkan konsert jelajah sehingga kesihatannya bertambah pulih.

Iklan

“Selepas turun dari pentas, saya sangat kepenatan. Sudah masanya saya mengutamakan kesihatan. Jadi saya akan berehat daripada membuat apa-apa konsert jelajah buat masa sekarang. Saya akan baik-baik sahaja asalkan saya diberi masa untuk berehat,” ujarnya.

Awal bulan ini, Bieber dilihat mula beraksi membuat persembahan pentas buat kali pertama pada Festival Musim Panas di Itali, selepas dua bulan berehat akibat sindrom Ramsay-Hunt.

Baca Juga : Justin Bieber mungkin perlu tunggu 6 bulan pulih lumpuh muka, berisiko pekak

Iklan

Mengikut perancangan, siri jelajah Justice World Tour akan bersambung di Afrika Selatan, Asia Barat, Asia, Australia dan New Zealand antara Januari hingga Mac tahun depan.

Peminat di Malaysia sepatutnya berpeluang menyaksikan persembahan Bieber pada konsert yang dijadualkan berlangsung pada 22 Okotober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.