PELAKON terkenal, Vanidah Imran kini rasmi bergelar isteri kepada, Arifabillah Idris selepas kedua-duanya disatukan pagi ini.

Dengan sekali lafaz, Vanidah, 49, menjadi milik Arifabillah, 43, yang juga seorang jurutera.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran di sebuah premis di Titawangsa, di sini sekitar pukul 12.12 tengah hari.

Pada majlis pernikahan yang dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan teman rapat, Vanidah dan Arifabillah sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.

Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Dalam majlis berlangsung sederhana namun penuh bermakna itu sentuhan perancang perkahwinan @ezsconcept, Vanidah mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Syed Faizal.

Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, bukan seuatu yang mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah.

Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu memilih mengunci mulut tanpa menghebahkannya.

“Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

“Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat,” jelasnya.