[VIDEO] Mungkin sebelum ini saya selalu bersangka buruk dengan ALLAH - Amar Asyraf
MELIHAT kepada penghijrahan yang dilalui dan penampilan terkini dirinya, ramai menyangka pelakon Amar Asyraf akan mengundurkan diri dari dunia lakonan.
Apatah lagi Amar, 35, turut dilihat aktif dalam usaha dakwah bersama jemaah tabligh, selain berjinak-jinak dalam dunia perniagaan semenjak awal pandemik Covid-19 lalu.
Menyangkal dakwaan tersebut, Amar berkata, biarpun pada awalnya dia terdetik untuk berbuat demikian, hasrat itu dibatalkan atas nasihat rakan-rakannya.
“Jujurnya selepas pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua, saya memang terdetik untuk berhenti berlakon.
“Bagaimanapun hasrat tersebut saya lupakan apabila dinasihati beberapa orang dalam jemaah yang meletakkan harapan kepada saya untuk membantu melakukan usaha dakwah kepada rakan-rakan dalam kalangan orang seni.
“Dia mengingatkan saya agar tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya jadikan platform kerjaya sebagai pelakon untuk bawa orang-orang seni lebih dekat dengan agama,” katanya ketika ditemubual dalam program Instagram Live SinarPlus pada Isnin.
Tambah Amar, bagaimanapun cara dan penampilannya dalam lakonan selepas ini tentunya berbeza dan tidak seperti dulu.
“Apapun tawaran yang datang, saya akan ambil sahaja jika bersesuaian. Tidak mengapa jika bayarannya rendah kerana saya mempunyai misi lebih penting dalam usaha dakwah.
“Saya bersyukur dan tumpang gembira bila tengok ramai rakan selebriti turut berubah ke arah kebaikan. Mungkin pandemik ini menjadi asbab kita mendapat hidayah dan mahu lebih dekat kepada Maha Pencipta,” ujarnya.
Mengambil contoh dirinya, Amar mengakui keperitan dan kesusahan yang dilalui sejak bermula pandemik banyak memberi kesedaran pada diri.
Baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga, pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu mengakui berdepan fasa sukar yang begitu menekan dirinya.
“Ketika awal PKP saya tidak begitu terasa walaupun hilang punca pendapatan kerana masih boleh hidup dengan wang simpanan.
“Bagaimanapun apabila masuk PKP2, kehidupan saya jadi sangat sukar. Bukan sahaja kerana pandemik, tetapi mungkin juga saya kehilangan tawaran kerja disebabkan kontroversi perkahwinan kedua saya sebelum itu.
“Ketika itu saya banyak merungut dan menyalahkan takdir. Langsung tidak bersyukur sehingga akhirnya apa yang saya lakukan serba tidak kena. Saya bukan sahaja berdepan masalah kewangan, tetapi juga rumah tangga,” jelasnya.
Tambah Amar, perniagaan yang diusahakan juga tidak menjadi biarpun pelbagai cara dilakukan untuk melariskan jualan coklat Lalaluv, Sambal dan yang terbaru, pakaian bundle.
“Mungkin sebelum ini saya selalu bersangka buruk dengan ALLAH bila dalam kesusahan. Jadi rezeki susah nak dekat. Alhamdulillah selepas bersama usaha dakwah, saya mula pandai bersyukur sekali gus menjadikan hidup dan pemikiran saya berubah ke arah positif.
“Secara perlahan-lahan usaha dalam perniagaan juga dipermudahkan. Tiba-tiba sahaja ramai rakan selebriti sokong barang jualan saya dan kemudiannya buat infak pada mereka yang memerlukan.
“Saya sangat terharu dan berjanji pada diri untuk menggunakan rezeki itu dengan memberi manfaat pada orang lain juga,” katanya lega berjaya keluar daripada masalah kewangan yang membelenggu dirinya sebelum ini.
View this post on Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang