Aufahanie tinggalkan dunia seni selepas pemergian abang, kini kembali demi ibu – ‘Saya mahu jaga kebajikan Umi’
KEHILANGAN insan tersayang bukan sekadar meninggalkan ruang kosong dalam kehidupan, malah adakalanya mampu mengubah seluruh perjalanan seseorang.
Begitulah yang dilalui penyanyi muda, Aufahanie apabila pemergian abangnya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar pada 2024 membuatkan dirinya hilang semangat untuk terus berdiri di pentas nyanyian.
Dahulu, setiap persembahan menjadi momen yang cukup bermakna apabila arwah abang sentiasa berada di sisi memberikan sokongan. Namun, selepas insan kesayangan itu tiada, pentas yang pernah menjadi tempatnya meluahkan rasa bertukar menjadi ruang yang mengundang kesedihan.

Enggan terus dibelenggu perasaan, pemilik nama sebenar Nur Aufahanie Mokhtar itu mengambil keputusan meninggalkan dunia seni buat sementara waktu dan memilih kerjaya sebagai pramugari.
Hampir dua tahun menggalas tugas sebagai kru kabin, penyanyi berusia 23 tahun tersebut akhirnya nekad kembali mengejar impian yang pernah ditinggalkan.
“Selepas abang pergi, saya rasa ‘down’ dan tidak gembira kerana sebelum ini setiap kali menyanyi, abang selalu ada bersama saya. Apabila berada di pentas, saya teringatkan arwah.
“Jadi, saya ambil keputusan bertukar bidang. Walaupun tidak menyanyi lagi, saya perlu mencari pendapatan kerana mahu menjaga kebajikan emak,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran outlet ke-25 Bayu Somerset di 118 Mall, baru-baru ini.
Menurut pelantun lagu Butterfly itu, selepas pemergian abangnya, tanggungjawab menjaga keluarga kini turut menjadi keutamaannya memandangkan mereka hanya tinggal bersama ibu dan kakaknya.

Keputusan meninggalkan bidang seni bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi nyanyian sudah sebati dengan dirinya sejak awal pembabitan dalam industri muzik.
“Walaupun berat untuk berhenti, nyanyian adalah jiwa saya. Lagipun, tugas sebagai kru kabin sangat mementingkan aspek keselamatan.
“Saya bimbang jika terlalu banyak perhatian diberikan kepada kehidupan peribadi sehingga boleh mengganggu kelancaran kerja,” ujarnya.

Utamakan privasi ketika bertugas
Bercerita mengenai kerjaya pramugari yang tidak banyak dikongsikan kepada umum, Aufahanie menjelaskan dia bukan sengaja mahu merahsiakan pekerjaan berkenaan.
Sebaliknya, keputusan itu dibuat atas dasar profesionalisme dan keselesaan diri ketika menjalankan tanggungjawab dalam sektor penerbangan.
“Bukan saya mahu merahsiakannya, cuma bagi saya lebih baik tidak perlu bercerita kepada semua orang. Kalau orang nampak saya bekerja, mereka akan tahu,” jelasnya.
Dalam tempoh hampir tujuh bulan sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju kerjaya, Aufahanie turut mendapatkan pandangan ibunya yang menjadi antara individu paling penting dalam perjalanan seninya.
Sokongan dan pengorbanan wanita itu sejak awal pembabitannya dalam bidang nyanyian membuatkan Aufahanie berasa bertanggungjawab untuk meneruskan impian yang pernah dibina bersama.
“Umi sebenarnya lebih suka saya menyanyi. Perjalanan saya dalam industri ini pun semuanya ada Umi.
“Kalau saya tidak sambung menyanyi, saya rasa seperti mensia-siakan segala usaha Umi selama ini. Apa yang saya ada hari ini banyak hasil sokongan dan pengorbanan Umi.
“Jadi, kepulangan saya dalam bidang seni ini juga adalah untuk Umi,” katanya.
Belajar tersenyum lagi selepas kehilangan
Selepas membuat keputusan kembali aktif, Aufahanie tidak terburu-buru menerima tawaran persembahan, sebaliknya memilih untuk bergerak secara berperingkat bagi membiasakan diri semula dengan dunia seni.
Malah, perkembangan terbaharunya bersama pasukan pengurusan EXO House menyaksikan penyanyi itu sudah menghasilkan sekitar tiga hingga empat lagu sejak beberapa bulan lalu.

Antara karya yang cukup dekat dengan hatinya ialah single terbaharu berjudul Tersenyum Lagi yang membawa mesej harapan untuk kembali menemui kebahagiaan selepas melalui fasa kehilangan.
Bagi Aufahanie, lagu tersebut bukan sekadar sebuah karya muzik, sebaliknya menjadi ruang untuk meluahkan kerinduan terhadap arwah abang yang begitu bermakna dalam kehidupannya.
“Lirik lagu Tersenyum Lagi mempunyai mesej menggambarkan harapan untuk kembali tersenyum apabila mengenangkan arwah abang saya.
“Bukan susah dari segi vokal, cuma cabarannya adalah untuk mengawal emosi ketika menyanyikannya,” katanya.
Malah, dia mengakui pernah terlalu sebak sehingga mengambil keputusan untuk tidak mempersembahkan lagu berkenaan dalam satu acara kerana bimbang gagal mengawal perasaan.
Pengalaman itu memperlihatkan bahawa proses kembali ke pentas bukan sekadar persediaan vokal atau menghafal lirik, tetapi turut menuntut kekuatan emosi untuk berdepan kenangan yang masih dekat di hati.
Menyertai semula syarikat rakaman berkenaan juga menjadi langkah baharu buat Aufahanie dalam menyusun perjalanan seninya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
