PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza diberi penghormatan apabila wajahnya dipaparkan di papan iklan digital terkenal, New York Times Square, Amerika Syarikat.

Penampilan Siti yang mewakili Malaysia pada papan iklan terkenal itu adalah sebahagian daripada kempen Equal oleh platform penstriman digital Spotify.

Equal adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.

Terdapat 35 senarai lagu atau playlist Equal meliputi artis dari 50 negara, di mana. Siti merupakan salah satu wakil bagi senarai lagu untuk Malaysia dan Singapura.

Pengiktirafan itui juga diberikan kepada Siti berikutan kejayaan lagu terbaharunya, Lip Lap Raya sempena Aidilfitri lalu yang meraih banyak penstriman di Spotify

Penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu bersyukur dengan pengiktirafan tersebut yang disifatkan sebagai satu penghormatan istimewa buat kerjaya seninya.

“Selepas begitu banyak detik manis dalam industri hiburan, ini mungkin antara yang terindah buat saya. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas penghormatan ini.

“Melihat wajah saya terpampang di salah satu tempat paling popular di dunia adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan.

“Saya sangat bersyukur diberi peluang ini seperti beberapa penyanyi wanita Malaysia lain yang pernah mendapat kesempatan ini,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Siti yang telah menghasilkan lebih 20 buah album itu dan ratusan anugerah tempatan dan antarabangsa itu mengharapkan agar dapat terus memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Saya harap saya akan dapat terus memenuhi harapan para peminat dengan menghasilkan lebih banyak karya yang hebat.

Iklan

“Saya juga berharap ini akan memberi inspirasi kepada ramai anak gadis di luar sana untuk terus berusaha dan jangan berhenti mengejar impian,” katanya.

Siti merupakan selebriti Malaysia kelima untuk menghiasi papan iklan tersebut selepas Yuna, Layla Sania, Dolla dan Iman Troye.

(FOTO: Universal Music Malaysia)