PELAWAK dan pelakon Zizan Razak mahu terus mencabar dirinya dengan menjayakan watak-watak yang lebih serius, sekali gus menguji kemampuannya dalam lakonan.

Itu yang dilakukan Zizan menerusi telefilem terbaharu lakonannya, Damak Si Kuba yang bakal disiarkan di Astro Ria, jam 9 malam pada 17 September ini.

Menurut selebriti berusia 38 tahun itu, sekiranya penonton dapat menerima watak serius yang dijayakan, dia tidak menolak untuk melakonkan watak sebegitu pada masa akan datang.

“Kalau orang ramai terima, saya boleh kembangkan lakonan saya ke arah sesuatu yang baharu dan orang tak pernah tengok.

“Bila bawa watak serius dan sedih, saya risau memikirkan penerimaan penonton. Ini kerana ketika penggambaran, orang masih buat kelakar dengan saya. Bila orang jumpa nak gurau-gurau dengan saya, itu mencabar saya di set sebab saya kena fokus.

“Apa-apa pun saya mengambil cabaran ini untuk yakinkan orang yang Zizan dalam cerita ini lain. Bukan Zizan dalam cerita-cerita kelakar sebelum ini,” ujarnya.

Naskhah terbitan Issey Fazlisham dan arahan oleh Zainorsham itu menyaksikan Zizan membawakan watak sebagai Pok Chek yang berdepan kesempitan hidup di kampung bersama isteri dan anak yang buta.

“Saya bawa watak orang susah, kerja berkebun dan dapat anak buta. Banyak kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya rasa susah nak buat, habis shoot saya masih termenung. Dalam cerita ini saya mewakili orang susah. Ada orang yang melalui kesusahan begini,” ujar Zizan.

Iklan
Babak emosi antara Zizan dan Bienda dalam Damak Si Kuba.
Zizan akui tidak mudah melakonkan watak sedih dan serius.

Berkongsi pengalamannya dalam telefilem tersebut, Zizan berkata, babak menangis menjadi antara aksi yang sukar dilakukan.

“Babak menangis adalah antara yang paling susah saya nak buat dalam cerita ini. Saya sendiri belajar teknik itu sampai menangis teresak-esak. Tak sangka saya dapat buat.

Iklan

“Sebenarnya kalau faham kisah dan mendalami cerita, kita boleh faham. Setengah orang cakap, untuk watak sedih kita kena ingat benda paling sedih. Bagi saya konsep itu akan lari dan tak kena.

“Dalam cerita ini, dia orang susah. Jadi kita kena faham watak yang dibawa dan secara tidak langsung kita akan menangis,” katanya.

Damak Si Kuba yang turut dibintangi Danish Hazriq, Bienda, Angie Tan Ang Lee dan Mak Sheen itu mengisahkan tentang seorang anak penggembala yang kehilangan ibunya akibat kanser, melalui saat sukar apabila perlu berpisah dengan kerbau kesayangannya bagi menampung kewangan keluarga. Dia cuba mencari pelbagai jalan supaya bapanya tidak menjual kerbau kesayangannya.