10 fakta ringkas kejayaan Maryam Muzamir, murid Tahun 5 menangi 3 pingat emas reka cipta antarabangsa

September 26, 2021
Oleh Azma ML

KECIL-kecil cili padi, walaupun baharu berusia 11 tahun sudah berjaya mengukir nama di peringkat antarabangsa!

Baru-baru ini nama Maryam Muzamir disebut oleh pengacara televisyen James Corden dalam rancangan The Late Late Show with James Corden susulan kejayaannya meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, bulan lalu.

Bukan calang-calang, nampaknya kejayaan anak muda ini sudah sedia mendapat liputan media luar negara!

Dalam pada itu, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang itu turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kejayaannya mengharumkan nama negara.

Apakah yang produk inovasi yang telah dicipta Maryam? Berikut ialah 10 fakta ringkas mengenainya:

1.Maryam mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan cangkerang siput sedut yang dinamakan Yam 2.0.

2.Idea inovasi Yam 2.0 tercetus semasa dia melihat pembaziran sisa makanan laut yang terbuang di restoran.

3.Maryam difahamkan telah membaca artikel menyatakan cangkerang makanan laut mengandungi bahan ‘chitin‘ yang mana mempunyai kebaikan di dalam makanan ternakan. Justeru ia menjadi titik tolak Maryam mula merancang inovasinya.

4.Sebanyak 30 kilogram bahan kulit udang dan cangkerang siput sedut diperolehi Maryam dari restoran di Kuantan.

Iklan

5.Bahan itu kemudian dicuci dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.

6.Setelah kering sepenuhnya kulit udang dan cangkerang siput sedut diasingkan sebelum dikisar dalam bentuk dan saiz yang sesuai untuk dimakan haiwan ternakan.

Iklan

7.Produk tersebut memerlukan pemprosesan selama 1 minggu dan sampel percuma tersebut diberikan kepada ladang ternakan lembu.

8.Pengambilan Yam 2.0 oleh lembu didapati tidak menjejaskan penghasilan susu.

9.Antara perkara yang juga menjadi motivasi kepada Maryam adalah terdapatnya pernyataan bahawa harga daging yang semakin meningkat disebabkan oleh harga makanan untuk ternakan yang tidak stabil akibat penggunaan makanan jagung yang berkualiti tinggi.

10.Kos penghasilan YAM 2.0 rendah berbanding produk makanan haiwan ternakan konvensional dan ia boleh digunakan sebagai makanan untuk haiwan ternakan seperti ayam, kambing, ikan termasuk khinzir.

Anugerah yang diperoleh Maryam ini amat membanggakan kita semua. iCAN 2021 ialah pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara.

Pertandingan tersebut melibatkan 600 peserta dari 70 negara dan beliau merupakan pemenang yang termuda dalam pertandingan ini.

Terdahulu, pada tahun 2020 Maryam telah memenangi dua medal emas di Citrex (Creation, Innovation, Technology & Research Exposition). Tahun ini anak muda itu merangkul pingat emas di I-RIE (International Research Invention and Innovation Exhibition 2021).

Baca juga 11 Tahun Kaji Mengenai Ketum, Pakar USM Menangi Anugerah Penyelidikan Antarabangsa

Oleh kerana potensi besar produk inilah bapanya, Prof Madya Dr Muzamir Hasan menggalakkan Maryam untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Semoga kemenangan adik Maryam dapat memberi inspirasi kepada kita semua untuk menghasilkan inovasi.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram!