SELAMA 16 hari diculik, wanita yang merupakan ejen jualan kosmetik akhirnya dibawa pulang ke Malaysia selepas usaha dan penyiasatan dilakukan pelbagai pihak.

Kisah penculikan wanita berkenaan menjadi tular sekelip mata selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediamannya yang memaparkan kejadian berdurasi dua minit 51 saat  beredar di laman sosial.

Baca juga: Luluh hati ibu anak diculik depan mata, polis percayai berkait sindiket dadah, dibawa ke negara jiran

Dalam perkembangan terkini, wanita berusia 36 itu sudah dibawa pulang ke tanah air.

Warga maya menzahirkan kesyukuran dan memuji kecekapan PDRM dan Polis Diraja Thailand menyelesaikan kes penculikan terbabit. Ujar mereka:

-“Tahniah. Teruskan pembanterasan jenayah berterusan. Lawan kartel dadah habis-habisan.”

– “Tahniah PDRM , semoga anggota yang terlibat itu murah rezeki dan sentiasa dalam lindungan ALLAH”

– “Syabas PDRM. 16 hari masa diambil satu tempoh yang mencabar dan akhirnya berjaya dalam operasi tersebut.”

– “Tahniah PDRM dan Polis Thailand.”

-“Alhamdulillah. Ayuh cakna sesuatu yang mencurigakan sekeliling kita. Sama-sama berpesan. Teima kasih PDRM, dan semua yang terlibat.”

Baca juga: Tinggal RM1.97, RM5,444 dalam akaun lesap angkara scammer. Berikut kronologi penipuan, hati-hati wanita!

Berikut kronologi 16 hari penculikan yang penuh debaran dan meraih perhatian seluruh negara.

13 September 2022

Wanita berkenaan dilarikan beberapa lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pada jam 5.10 petang.

Rakaman CCTV menunjukkan beliau diheret masuk ke dalam kereta tanpa sempat memakai selipar dan tudung. Lebih menggerunkan suspek didakwa mempunyai senjata semasa melarikan wanita berkenaan.

Susulan itu tiga individu berusia 35 hingga 47 tahun termasuk suami mangsa ditahan bagi membantu siasatan. Keluarganya mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan.

Wanita itu dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihatnya dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam.

15 September 2022

Polis Kontinjen Kelantan memaklumkan kes penculikan itu ada kaitan dengan sindiket dadah.

Suami mangsa telah ditahan bersama dua individu lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. Mengikut siasatan suami mangsa mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah penyeludupan manakala seorang lagi suspek lelaki, tujuh rekod lampau.

Siasatan awal mendapati wanita berkenaan mengenali suspek yang menculiknya.

16 September 2022

Polis Thailand menyerbu rumah suspek penculikan di pinggir Sungai Golok di Takbai dalam wilayah Narathiwat dalam usaha mengesan wanita berkenaan.

Bagaimanapun ketika diserbu, rumah tersebut didapati kosong.

Iklan

17 September 2022

Reman suami wanita berkenaan dan dua lagi individu disambung tiga hari. Siasatan awal polis mempercayai suami mangsa terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah.

Polis memaklumkan mangsa dipercayai dilarikan ke negara jiran dengan menggunakan bot melalui pangkalan haram di kawasan Kuala Jambu, Tumpat, Kelantan.

20 September 2022

Keluarga wanita berkenaan tidak berputus asa dan mengharapkan keajaiban. Adik wanita itu berkata, keluarga besarnya tidak berhenti melakukan solat hajat dan berharap kakaknya pulang dengan selamat.

23 September 2022

Siasatan menunjukkan perkembangan positif. Bagaimanapun Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, namun tidak mendedahkan secara lebih lanjut.

Iklan

29 September 2022

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Diraja Thailand berjaya menjejaki dan mengenal pasti lokasi keberadaan wanita itu di Thailand. Turut dimaklumkan wanita berkenaan telah berjaya diselamatkan.

beliau telah dibawa pulang ke Malaysia pada 29 September 2022.

Tujuh orang suspek lelaki warga tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. Sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa dirampas.

Baca juga: 5 kes tragis culik, bunuh kanak-kanak menyayat hati pernah berlaku di Malaysia

Sumber: Sinar Harian, Instagram pdrmsia_official

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan