3 tahun berjuang, Da’i Syed dilepaskan & dibebaskan daripada tuduhan rogol. 7 info berkaitan

PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam daripada tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun, hampir empat tahun lalu.

Menurut laporan portal tempatan, berikut info berkaitan;

1. Hakim Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Shah Iqmal, 27, di akhir kes pendakwaan.

2. Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, kira-kira jam 1.35 malam, pada 11 September 2019.

3. Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

4. Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lalu.

5. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

6. Pada 31 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

7. Syed Amirul ketika dihubungi Bernama mengesahkan anak guamnya kini bebas daripada sebarang pertuduhan di mahkamah.

Baca juga Fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi Da’i Syed buat laporan polis

Dalam pada itu, Syed Shah Iqmal turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada keluarga, sahabat serta semua yang sentiasa menyokong dan mendoakannya.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, berkat 19 Ramadan ini, saya diputuskan tidak bersalah. Perkara ini saya terima sebagai hadiah untuk saya sekeluarga dalam membersihkan nama dan maruah diri,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Da’i Syed berkongsi video momen terendah dalam hidupnya ketika berada di dalam tahanan pihak berkuasa bagi membantu siasatan tuduhan jenayah seksual.

Baca juga Tidak simpan dendam, Da’i Syed mahu jalani kehidupan positif

Menerusi posting di Instagram, Da’i Syed bersyukur kerana perjuangannya untuk membersihkan nama dan maruah diri sendiri serta keluarga termakbul juga.

“Alhamdulillah Ya ALLAH. Setelah 3 tahun saya berjuang membersihkan nama, maruah dan keluarga saya. Hari ini tepat 19 Ramadan, saya dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Saya kongsikan moment titik terendah saya ketika dalam tahanan dan video call bersama mama.

Iklan

“Benarlah air hujan yang jernih turun dari awan yang gelap,” coretnya.

Sumber: Bernama, Instagram Da’i Syed

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.