Anak, menantu wajib pulang sebelum Maghrib - Ustazah Siti Nor Bahyah

Ustazah Siti Nor Bahyah
Ustazah Siti Nor Bahyah
A
A
A

Foto: Asril Aswandi dan ihsan Ustazah Siti Nor Bahyah

DATUK Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood. Nama itu tidak asing lagi dalam pentas dakwah di negara ini. Lemah lembut, murah menguntumkan senyuman dan sarat pengisian dalam setiap butir bicara.

Ciri-ciri itulah yang membuatkan beliau antara ikon pendakwah wanita disegani. Sukar untuk menidakkan kemunculan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah bersama suami tercinta, Datuk Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menerusi rancangan Semanis Kurma sekitar tahun 2008.

Program itu telah melonjakkan lagi nama beliau sekali gus mencipta fenomena dalam kalangan penonton. Kata Siti Nor Bahyah, resipi kebahagiaan yang dikongsikan sedikit sebanyak menerusi program itu menjadi pemangkin buat pasangan suami isteri di luar sana untuk berusaha melayari bahtera perkahwinan dengan baik.

Ujar figura itu, kemesraan dipamerkannya dan suami bukan dibuat-buat semata-mata untuk menaikkan rating program, tetapi itulah realiti kasih sayang mereka berdua yang saling melengkapi. Jika dihitung, hampir dua tahun Ustazah Siti Nor Bahyah tidak muncul baik dalam media cetak mahupun elektronik.

Begitupun, wanita berusia 54 tahun itu masih aktif memenuhi undangan berceramah dan berdakwah menerusi laman Facebook peribadi yang kini mencecah 2.15 juta pengikut.

Ustazah Siti Nor Bahyah MahamoodUstazah Siti Nor Bahyah

“Saya tidak bersara, cuma berehat seketika demi menjaga ibu yang mengalami masalah kesihatan. Sebab itu, saya jarang menerima tugasan untuk stesen televisyen dan radio kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi.

“Lagipun ibu menetap bersama saya, jadi tidak sampai hati meninggalkannya mengurus diri di rumah sepanjang ketiadaan saya,” jelas beliau yang tinggal sebumbung bersama 15 ahli keluarga termasuk lima orang cucu.

Solat jemaah

Bicara ibu kepada empat cahaya mata tersebut, sekiranya tidak bekerja sebahagian besar masanya akan digunakan untuk mengurus keluarga.

Barangkali bagi sesetengah pasangan berkahwin, mereka kurang selesa menjalani kehidupan rumah tangga bersama keluarga sendiri atau mertua, namun prinsip Pengarah Urusan SNB Kasih Training dan Consultancy itu pula sebaliknya.

Baginya, anak-anak, menantu dan cucu yang berusia antara dua hingga 12 tahun adalah anugerah ALLAH yang wajar dijaga dengan baik.

Ustazah Siti Nor BahyahUstazah Siti Nor Bahyah (lima dari kanan) bahagia tinggal serumah bersama ibu tercinta, anak, menantu dan cucu.

“Walaupun masing-masing sudah berumah tangga dan beranak-pinak kami tetap harmoni bernafas di bawah satu bumbung. Setahun sekali, kami akan bercuti sama ada di dalam atau luar negara.

“Saya tidak menafikan sesetengah pihak mempunyai persepsi kurang manis mengenai perkara (tinggal bersama keluarga ataupun mertua selepas berkahwin) ini, namun alhamdulillah keluarga kami masih bahagia dan diberkati ALLAH,” luah beliau ketika ditemui Sinar Plus di Hotel RHR Kajang, Selangor baru baru ini.

Namun begitu, Siti Nor Bahyah memberitahu, beliau sentiasa berusaha menyediakan ruang privasi terbaik untuk anak-anak dan pasangan sehinggalah doanya dimakbulkan tiga tahun lalu.

Beliau yang anggun dalam persalinan batik rona ungu sama sekali tidak menyangka sempena ulang tahun kelahirannya pada 7 Julai 2017, suami telah menghadiahkan kediaman baharu.

“Rumah yang kami tinggal kini dari kamar, ruang tamu, ruang rehat hinggalah dapur semua serba-serbi luas dan selesa untuk kami sekeluarga,” imbas beliau mengenai momen istimewa itu.

Ditanya, keistimewaan hidup bersama di bawah satu bumbung, Siti Nor Bahyah menyifatkan situasi berkenaan bukan sahaja mengajar mereka erti susah dan senang bersama, bahkan membuka peluang untuk saling bertukar pendapat serta berkongsi masalah.

Pada masa sama, tali silaturahim diperkukuhkan dengan solat berjemaah dan membaca al-Quran.

“Saban hari saya akan pastikan masing-masing pulang ke rumah untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama.

"Bersalaman selepas solat juga adalah sentuhan kasih sayang merapatkan ikatan kami antara satu sama lain,” jelas beliau yang tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.

ANEKDOT

TIP wanita kekal positif, jauhi stres daripada Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood:

- Luah kepada ALLAH ketika sujud, solat malam dan berdoa

- Luah kepada ibu bapa dan adik-beradik

- Wanita yang belum berkahwin jangan meluahkan kepada lelaki kerana tidak manis

- Baca al-Quran kerana ayat-ayat suci itu adalah motivasi terbaik

- Amalkan zikir

- Solat berjemaah bersama keluarga

- Elak berseorangan kerana bisikan syaitan boleh membawa kemurungan dan perkara negatif

- Berselawat atas nabi

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca