SEMANGAT yang tinggi telah ditunjukkan oleh setiap anggota keselamatan, kesihatan dan bomba dalam melaksanakan tugas sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun mereka  berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Ada antara mereka bertugas membuat pemeriksaan terhadap individu bawah pemantauan (PUS) dan individu bawah siasatan (PUI), menjaga sekatan jalan raya, melakukan proses sanitasi dan menjalankan operasi pemantauan sama ada lautan atau daratan.

Mereka terdiri daripada pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Namun, dalam kesungguhan mereka menjalankan tugas terdapat juga beberapa berita menyedihkan dilaporkan media yang mana ada dalam kalangan mereka yang gugur di ‘medan perang’.

Ada jururawat yang meninggal akibat jangkitan Covid-19, ada anggota polis yang terkorban apabila dilanggar oleh pemandu mabuk ketika melakukan sekatan jalan raya dan ada juga yang tewas dalam misi menyelamat akibat banjir kilat yang kini sedang melanda negeri pandai timur.

Terbaharu, seorang anggota RELA daerah Gombak, Siti Hidayah Saparuddin dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan ketika perjalanan pulang bertugas pagi tadi.

Iklan

Berita menyedihkan itu turut dikongsikan oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui Facebook miliknya dengan ucapan takziah mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Iklan

“Innalillahiwainna lillahirrajiun.

“Seorang anggota relawati daerah Gombak, Siti Hidayah binti Saparuddin telah meninggal dunia akibat kemalangan ketika perjalanan pulang bertugas pagi ini.

“Salam takziah diucapkan daripada warga Kementerian Dalam Negeri (KDN). Alfatihah.” tulis beliau ringkas.

Allahyarhamah terlibat kemalangan jalan raya pagi tadi semasa dalam perjalanan pulang bertugas di Pusat Kuarantin Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Hospital Sungai. Buloh, Selangor.

ANEKDOT

Anggota RELA ditugaskan:

  • Membantu melaksanakan kawalan keselamatan perimeter Stesen Kuarantin yang ditubuhkan atas arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)
  • Melaksanakan rondaan di sekitar kawasan ditetapkan Pengarah Bahagian Operasi atau Pegawai yang diberi kuasa
  • Mengarahkan orang ramai yang berkumpul dan berkeliaran supaya pulang ke rumah.
  • Mengarahkan peniaga premis menjual makanan supaya tidak menghidangkan makanan di premis masing-masing.
  • Mengarahkan premis yang tidak menyediakan keperluan asas supaya ditutup dengan segera.
  • Melaporkan ketidakpatuhan larangan PKP kepada bilik gerakan negeri.
  • Membuat pengawasan kepada orang yang diarahkan kuarantin oleh Pejabat Kesihatan Daerah.
  • Menyalurkan maklumat atau isu lapangan mengikut format ditetapkan Jabatan
  • Melaporkan segera insiden yang berlaku di lapangan terus untuk tindakan Bilik Gerakan.