LAGU Cinta Muka Buku telah menjadi satu manifestasi hebat memperkenalkan nama Imratul Najwa Abdul Latif atau Najwa Latif di arena seni tanah air. Gelombang kehadirannya bagaikan satu fenomena.

Genre muziknya yang bersahaja dan catchy dengan mainan liriknya yang tidak perlu pening kepala difahami, membuatkan dirinya popular sekelip mata. Ya, empunya diri sudah dikenali ramai walau ketika itu, usianya baru mencecah 16 tahun.

Jika kini, ledakan Youtube semakin menjadi-jadi, tetapi Najwa sudah lama melakukannya. Beliau merupakan Youtuber pertama dalam kalangan selebriti sebenarnya.

MENARIKNYA lagi tentang Najwa, beliau bukan artis one hit wonder, sebaliknya banyak singlenya dikenali.

Kehadiran gadis kecil molek itu melalui laman berkenaan yang sering membuat cover version lagu nyanyian lagu artis lain sememangnya mencuri perhatian ramai. Setakat artikel ini ditulis, laman Youtubenya, najwa595 memiliki 289,000 pengikut.

Selain Cinta Muka Buku, lagu-lagu lain seperti Carta Hati, Kosong, Untuk Dia, Adamu dan Sahabat, dendangannya bersama kumpulan Sleeq memang hit. Namun, selepas lagu Sahabat, Najwa seperti halimunan dalam radar dunia hiburan.

Pun demikian, selebriti yang mengabdikan diri sejak remaja dalam dunia muzik ini berkata, beliau tidak merajuk, tetapi sedang mempersiapkan diri dengan ilmu. Beliau nampaknya bukan sekadar mahu dikenali sebagai individu tersohor, tetapi wanita elegan yang penuh dengan ilmu di dada.

Fasa mencabar

Baru-baru ini, SinarPlus berkesempatan mewawancara Najwa, namun disebabkan penangan Covid-19, beliau lebih selesa ditemu bual secara maya sahaja.

Kepada penulis, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik lebih teruja menceritakan terlebih dahulu tentang pembelajaran dari peringkat asasi hingga Ijazah Sarjana.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Semua orang yang saya jumpa sepanjang pembelajaran, hanya pandang saya sebagai seorang gadis yang ingin timba ilmu dan bukan selebriti.

“Itu satu pengalaman yang sangat seronok sebab saya dapat lalui fasa dewasa dan fasa berada di universiti seperti orang lain dalam keadaan yang normal. Saya juga belajar jurusan yang saya gemari iaitu Bahasa Inggeris dan dapat kenal diri saya dengan lebih baik lagi,” katanya membuka bicara.

Namun, masih memegang status sebagai selebriti ketika itu, Najwa berkata, faktor masa merupakan cabaran yang terhebat bagi dirinya. Masakan tidak, beliau harus bijak membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya.

“Namun, perkara yang paling mencabar untuk saya apabila perlu menyiapkan tesis untuk Ijazah Sarjana saya, tetapi syukur sangat, orang sekeliling banyak beri sokongan dan motivasi untuk saya habiskan belajar,” katanya.

Pertanyaan demi pertanyaan akhirnya membuka cerita mengapa dirinya mengambil jurusan Bahasa Inggeris bermula daripada peringkat Asasi, Ijazah Sarjana Muda hinggalah Master.

RUPA-RUPANYA kata graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Kepada Penutur Bahasa Lain (TESOL), UNITAR International University itu, beliau sengaja mencabar dirinya sendiri.

“Ya, benar, salah satunya kerana ibu saya seorang guru muzik dan Bahasa Melayu dan kakak saya juga guru. Selain itu, saya sebenarnya agak lemah dalam subjek Bahasa Inggeris dalam aspek komunikasi dengan orang sekeliling.

“Jadi, saya pilih untuk belajar jurusan itu untuk memperbaiki diri saya untuk jadi lebih baik dalam bidang tersebut. Saya juga harap dapat bantu ramai pelajar untuk jadi lebih mahir dalam Bahasa Inggeris,” katanya berterus-terang.

Bagaimana teknik pembelajaran Najwa? Adakah pada ketika itu, dunia seni terus dinyahkan sementara dalam diari hidupnya sebagai pelajar?

“Oh, tidak, sebenarnya saya ada sahaja. Saya keluarkan lagu atau single seperti biasa sebelum ini. Cuma mungkin orang tak perasan sebab saya jarang muncul menerusi radio mahupun televisyen,” katanya.

Mengenai disiplin dan teknik ulangkajinya, remaja genit itu memberitahu, semuanya sama seperti mahasiswa lain, tiada perbezaan ketara.

“Saya cuba untuk fokus dalam kelas, bertanya pada pensyarah dan kawan kawan bila ada perkara yang saya tak faham. Selain itu, bagi saya, keberkatan itu sangat penting. Justeru, hubungan dengan Pencipta, keluarga dan orang sekeliling memang saya jaga dengan baik,” katanya yang telah menamatkan pengajian dalam Sarjana dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya pada tahun lalu.

NAJWA (berdiri dua dari kanan) bersama keluarganya.

Cabaran mengajar era Covid-19

Nampaknya, kronologi kehidupan pelantun lagu Sahabat yang mendapat tontonan lebih 8.5 juta dalam Youtube merentas satu jalan yang cukup mudah pada mata kasar.

Namun, kesemua itu bukan atas tiketnya sebagai selebriti, tetapi disebabkan pencapaian cemerlangnya ketika menuntut. Sejak tiga tahun lalu, beliau telah diberi kepercayaan mengajar Bahasa Inggeri oleh pihak UNITAR.

Cerita Najwa, pada hari pertama, beliau muncul sebagai pensyarah di kuliah, rata-rata pelajarnya terkejut. Mana tidaknya, seorang penyanyi terkenal datang mengajar. Ada yang menggelarkannya sebagai pensyarah selebriti.

“Hari pertama saja, selepas babak itu, mereka hormat dan lihat saya sebagai tenaga pengajar. Seperkara, saya agak rapat dengan pelajar-pelajar saya sebab umur kami tak jauh beza dan bergurau itu dah jadi rutin untuk kami,” katanya.

Ujar wanita bersuara emas itu lagi, pandemik Covid-19 sememangnya telah mengubah suasana pengajarannya daripada kaedah konvesional kepada platform dalam talian.

“Sangat mencabar sebenarnya sebab bukan saya malah para pelajar kena sentiasa bersedia dan fokus, kami cuba untuk biasakan diri dengan normal baharu ini. Buat masa ini, memang tiada kelas yang ditangguhkan,” katanya yang turut sekali-sekala dipanggil menjadi pakar motivasi di sekolah-sekolah dan di beberapa universiti di sekitar Semenanjung.

Ramai membuat kesimpulan Najwa seorang yang mempunyai pakej yang lengkap. Selain handal dalam arena muzik seperti mencipta melodi, menulis lirik, bermain alat muzik, wanita yang ceria dan peramah itu turut dilabelkan sebagai selebriti berilmu. Selayaknya beliau diangkat sebagai artis yang elok diteladani.

Mendengarkan frasa yang terpacul dari mulut penulis, empunya diri tertawa kecil, namun reaksi balasnya masih nada merendah diri.

“Saya rasa sangat terharu dengan semua itu. Alhamdulillah, saya sendiri sebenarnya memandang diri saya sebagai seorang yang masih perlu belajar banyak benda lagi. Saya percaya semua orang boleh mencapai great things that are meant for them, insya-ALLAH,” katanya.

Iklan

Hilang taring?

Topik perbualan kami kemudian mengarah kepada bidang muzik yang sudah menjadi darah dagingnya sejak remaja lagi. Seperti katanya, muzik adalah hobi saya dan telah menjadi sebahagian daripada hidup saya.”

Najwa seronok tatkala diajukan tentang lagu duetnya bersama pendatang baharu, Akwa Arifin yang berjudul Tak Kisah Pun dan Dua.

LAGU Tak Kisah Pun (duet bersama Akwa Arifin (kanan), beliau dan adik-beradiknya, Ika dan Irma hanya menulis lagu tersebut untuk kandungan Youtube pada awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, untuk Tak Kisah Pun, beliau dan adik-beradiknya, Ika dan Irma hanya menulis lagu tersebut untuk kandungan Youtube pada awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ilham membuat lagu ini datang daripada adik saya sendiri yang mencadangkan untuk kami tulis lagu tentang konsep sayang menyayangi orang sekeliling kita dan menerima mereka seadanya. Saya tak sangka orang terima lagu ini dengan sangat baik,” katanya yang digelar Ratu Pickup Line kerana banyak menghasilkan lirik yang sangat catchy dan mudah untuk diingati ramai.

Kepada SinarPlus, Najwa mengaku, ahli keluarganya yang memiliki latar belakang dalam bidang muzik sangat mempengaruhi kejayaan yang diraihnya selama ini.

“Untuk pengetahuan semua, ayah saya juga memberi sokongan yang sangat baik untuk kami adik-beradik belajar muzik. Pada asalnya, niat ayah saya menghantar kami ke kelas muzik hanya sekadar pelan simpanan jika akademik kami tidak begitu baik.

“Ayah saya nak kami bukan sahaja bijak dalam akademik tetapi ada kemahiran dalam bidang lain juga. Alhamdulillah, kedua-duanya dapat dikecapi,” katanya yang kini dalam transisi menerapkan elemen yang lebih menonjolkan diri dan bersesuaian dengan umurnya yang semakin meningkat dewasa dalam karya-karya seninya.

Jika dicongak kembali, muzik yang diketengahkan oleh remaja ini merupakan hasil sentuhan mereka sekeluarga. Lihatlah lagu-lagu seperti AdaMu, Kosong, Sahabat, Untuk Dia dan Carta Hati semuanya idea daripada Ika, Irma dan dirinya.

Iklan

Sehingga kini, paten itu ‘muzik adik-beradik’ masih diteruskannya. Kata Najwa: “Ya, sejujurnya, saya masih membuat lagu bersama adik-beradik saya dan kami pilih muzik yang kami sendiri selesa.”

Adakah lagu Tak Kisah Pun boleh mengulangi kejayaan luar biasa dan taring lagu Cinta Muka Buku dan memenuhi cita rasa anak muda zaman kini?

“Untuk menjawab soalan itu, ia terletak pada pendengar sendiri. Saya hanya mampu berusaha dan selebihnya tawakkal. Kalau ada rezeki saya, alhamdulillah. Kalau tidak, saya akan cuba lagi,” katanya positif.

Menceritakan tentang perancangan masa depan juga, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memberitahu, beliau memiliki perancangan untuk melanjutkan pengajian dalam Doktor Falsafah tidak lama lagi.

Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, ketika itu beliau mungkin sedang menuntut dan pada sama masih berdiri sebagai pensyarah.

Seandainya mempunyai rezeki untuk menghasilkan lagu untuk artis muda, Najwa juga tidak menolak.

Berkenaan dengan jodoh? Najwa tersenyum-simpul lalu berkata: “Buat masa sekarang, saya single dan gembira. Saya tak mahu paksa dalam hal ini. Kalau sampai masanya dan jumpa orang yang terbaik untuk saya, saya akan memberi komitmen, insya-ALLAH.”

PROFIL

  • Nama penuh: Imratul Najwa Abdul Latif.
  • Nama pentas: Najwa Latif.
  • Umur: 25 tahun.
  • Asal: Batu Pahat, Johor.
  • Tarikh lahir: 23 Mei 1995.
  • Adik-beradik: Anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.
  • Pendidikan: *Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris kepada penutur Bahasa lain (TESOL), UNITAR International University, Kelana Jaya – *Sarjana dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
  • Hobi: Menyanyi, menonton filem, dan membaca.
  • Warna kegemaran: Merah jambu dan coklat muda.
  • Idola: Zarina Saamah (Ibunya).
  • Moto hidup: You won’t lose when you stay true and kind to yourself.